Surah An-Nisa’ panduan permasalahan berkait hal wanita

- Advertisement -

KESELURUHAN 176 ayat daripada surah an-Nisa’ mengandungi beberapa perkara hukum-hakam, adab sopan berkeluarga yang boleh kita perincikan satu persatu. Surah an-Nisa’ ini juga dinamakan sebagai surah an-Nisa’ Kubro kerana betapa terperincinya Allah memberi peringatan mengenai tuntutan dan juga kewajipan-kewajipan dalam sistem kekeluargaan. Manakala, surah at-Talaq dinamakan sebagai surah an-Nisa’ Sughro. 

- Advertisement -

Satu lagi surah yang mencerminkan betapa Islam amat menitikberatkan mengenai persoalan wanita adalah surah an-Nur. Telah berpesan Saidina Umar Al-Khatab: “Ajarkan wanita-wanita kamu dengan surah an-Nur dan ajarkan pemuda-pemuda (dan) lelaki-lelaki dalam kalangan kamu dengan surah al-Maidah.” 

Kecantikan susunan ayat surah an-Nisa’

Bila mana kita melihat kepada surah an-Nisa’, apabila diperincikan kemunasabahan ayat demi ayat, kita boleh lihat dan perhatikan bagaimana pada permulaan surah Allah menyeru dengan panggilan manusia tanpa dibezakan dengan jantina, keturunan dan warna kulit dengan seruan supaya bertakwa. Dan diikuti dengan ayat demi ayat bahawa wanita itu perlu dimiliki dengan jalan perkahwinan (dan) mahar ataupun mas kahwin menjadi syarat pemilikan wanita. 

Ia juga diikuti pula dengan ayat seterusnya yang berkaitan dengan sifat adil di mana para suami perlu bersifat adil terhadap isteri-isteri yang dimilikinya. Seterusnya diikuti juga dengan perihal bagaimana menguruskan harta anak yatim dan juga harta pusaka (dan) ayat seterusnya berkaitan hal-hal perkahwinan dan diikuti dengan hal-hal kekeluargaan. 

Kepentingan keutuhan sistem kekeluargaan

Ayat selanjutnya pula Allah S.W.T menyebutkan mengenai asas-asas agama iaitu berkaitan dengan sifat dan perilaku ahli kitab, juga golongan munafik dan mengenai peperangan-peperangan yang berlaku antaranya perang Uhud dan perang Badar. Akan tetapi yang cantiknya dalam susunan surah an-Nisa’ adalah pada ayat yang ke 127, sekali lagi Allah S.W.T kembali menyebut mengenai hal kekeluargaan.

Ini kerana hal kekeluargaan adalah sama penting dengan hal yang berkaitan dengan kenegaraan dan sama penting dengan kaedah menangani golongan ahli kitab dan golongan munafik. Golongan ini boleh memecahkan kekuatan dan perpaduan umat Islam. Jika keutuhan sistem kekeluargaan tidak dijaga dan dipelihara, maka ia akan melemahkan struktur masyarakat umat Islam. Kerana apa? Kerana kita perlu fahami bahawa sistem kekeluargaan merupakan entiti penting dalam pembinaan dan keutuhan negara. 

Surah an-Nisa’ rujukan penyelesaian masalah wanita

Justeru para Muslimat dan hadirin hadirat sekalian, surah an-Nisa’ merupakan surah yang sepatutnya menjadi rujukan. Tidak perlu lagi ada kajian-kajian lain apabila kita ingin melihat dan mengkaji mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengan wanita. Jadikan al-Quran sebagai rujukan utama kita dan yang paling tepat adalah surah an-Nisa’ yang menggambarkan keseluruhan tanggungjawab, keistimewaan dan sistem kekeluargaan yang berkaitan dengan wanita. 

Tidak dinafikan juga, semua ini berkait rapat dengan keimanan iaitu perlunya kita sebagai umat Islam untuk memiliki iman yang kuat dan utuh. Dengan sifat keimanan inilah maka kita tidak akan lagi berbantah-bantah dan mempertikaikan hukuman atau apa sahaja pensyariatan yang diturunkan oleh Allah S.W.T. 

Kain batik banyak warnanya,
Untuk pengganti baju yang lama,
Yang cantik belum tentu bahagia,
Kalau dia tidak mengerti agama. 

Malu bertanya badan tersesat,
Memikul beban teramat berat, 
Pada suami teramat taat,
Moga pahala besar di akhirat. 

Moga-moga kita semua menjadi golongan wanita yang bertakwa dan mendapat ganjaran syurga-Nya kelak. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, Assalamualaikum W.B.T. 

USTAZAH ULYA ABD AZIZ
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak
Pengerusi Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat PAS Perak
Pensyarah APSA Perak – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -