Guru membentuk generasi Ramadani

- Advertisement -

GURU bukan sahaja pendidik yang sarat dengan ilmu di dada untuk digarapkan kepada murid, malah tugasannya lebih dari itu. Tugasannya pula bukan sahaja bermula dengan kelas di sekolah semata-mata, tetapi juga di persekitaran dan lapangan berbeza. Benar kata pujangga, jika guru gagal membentuk peribadi seorang murid, tidak mustahil satu generasi boleh rosak. Hayatilah bait pujangga berikut:

- Advertisement -

لو لا معلمي ما عرفت خير

۩ ﻟﻮﻻ ﺍلمربي ﻟﻜﺎﻥ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﻛﺎﻟﺒﻬﺎﺋﻢ.

“Kalaulah tidak kerana guru, tiadalah aku kenal kebaikan. Kalaulah tidak kerana guru nescaya manusia itu seperti binatang-binatang pemeliharaan”

Muslimin-muslimat yang dikasihi Allah sekalian, ingatlah bahawasanya guru antara golongan terawal dalam memberikan kita ilmu dan dengan ilmu yang diperoleh itulah, kita mampu mendapat dunia dan juga akhirat. 

Peranan guru di bulan Ramadan

Peranan guru sudah sedia maklum keberkesanannya dalam membentuk generasi Rabbani. Di hari-hari biasa pendidikan dalam kelas mesti menjadi keutamaan para guru. Namun, dengan kehadiran Ramadan, guru-guru mestilah memanfaatkan bulan yang mulia ini untuk memainkan peranan dalam membentuk generasi Ramadani pula. 

Di rumah, anak-anak dibentuk oleh ibu bapa manakala di sekolah pula anak-anak kita akan dibentuk oleh guru-guru. Kita tidak dapat menafikan, ada ketikanya guru-guru lebih lama mempunyai masa dan ruang untuk bersama anak-anak berbanding ibu bapa. Maka peranan guru amat besar sekali dalam mendidik anak bangsa. Marilah kita renungi nasihat Imam Asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala berikut: 

اِصْبِرْ عَلَى مُرِّ الجَفَا مِنْ مُعَلِّمٍ فَإنَّ رُسُوبَ العِلْمِ فِي نَفَرَاتِهِ

وَمَنْ لَمْ يَذُقّ مُرَّ التَعَلُّمِ سَاعَةً تَجَرَّعَ نُلَّ الجَهْلِ طُوْلَ حَيَاتِهِ

وَمَنْ فَاتَهُ التَّعْلِيمُ وَقْتَ شَبَابِهِ فَكَبِّرْ عَلَيْهِ أَرْبَعاً لِوَفَاتِهِ

وَذَاتُ الْفَتَى ـ وَاللَّهِ ـ بِالْعِلْمِ وَالتُّقَى إِذَا لَمْ يَكُونَا لَا اعْتِبَارَ لِذَاتِهِ

“Bersabarlah atas pedihnya kekerasan seorang guru,

Sungguh, kegagalan ilmu jika menjauhinya,

Dan barangsiapa yang tidak merasakan pedihnya belajar sesaat,

Akan menelan hinanya kebodohan sepanjang hidupnya,

Dan barangsiapa hilang (waktunya) menuntut ilmu di waktu muda,

Maka bertakbirlah empat kali atas kematiannya,

Demi Allah hakikat seorang pemuda adalah dengan ilmu dan takwa, 

Bila keduanya tidak ada maka tidak ada anggapan baginya.”

Ramadan merupakan medan ujian untuk guru-guru menyebarkan ilmu. Saban hari di sekolah guru-guru tidak jemu menghidupkan Ramadan dengan program-program rohani buat santapan jiwa anak-anak. Ia bukan sekadar memenuhi tanggungjawab melaksanakan satu program wajib di bawah Unit Dakwah Panitia Pendidikan Islam semata-mata, akan tetapi telah menjadi kewajipan guru-guru untuk menerapkan ilmu teori dan amali kepada anak-anak berkaitan puasa, kelebihan serta ilmu berkaitannya.

Perkasakan program Ihya’ Ramadan di sekolah

Puasa juga adalah salah satu isi kandungan dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Tugasan guru dalam menerapkan kelebihan-kelebihan puasa pada murid amat besar. Bukan sekadar memenuhi silibus buku teks sahaja, malah lebih dari itu. Yakinlah mengajar, membimbing anak-anak mengenai puasa dan kelebihan Ramadan sudah tentu berpahala. Dalam masa yang sama ia turut memenuhi etika seorang guru dalam mendidik anak-anak untuk memahami kehidupan beragama.

Justeru, hari ini di seluruh sekolah mengadakan program Ihya’ Ramadan bagi memberi ruang kepada anak-anak untuk mengkaji dan memahami Ramadan dengan erti kata yang sebenar. Bermula dengan tazkirah di awal waktu sebelum bermulanya proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP), tadarus di waktu rehat, menganjurkan pelbagai acara berkaitan ilmu di bulan Ramadan seperti kuiz Ramadan, pertandingan azan, iqamat dan selawat Ramadan, menulis khat atau kaligrafi Ramadan, ceramah Nuzul al-Quran, ceramah Badar al-kubro dan banyak lagi.

Ramadan wasilah guru tambah pahala

Ini adalah medan percambahan ilmu buat anak-anak di sekolah di mana mereka dihubungkan dengan realiti amalan-amalan untuk mengimarahkan bulan Ramadan. Alangkah beruntungnya anak-anak bangsa pada hari ini, apabila tugas tambahan guru ini diambil peluang untuk mereka mengisi bekalan ilmu di dada. Ramadan sewajarnya bukan sekadar menjadi amalan puasa sahaja buat guru-guru, malah ia merupakan wasilah guru untuk menambah pahala dengan setiap tutur baris kata-katanya menyampaikan ilmu demi anak-anak bangsa. 

Ramadan yang dilalui guru-guru dan anak-anak di sekolah tidak sama dengan masa berada di rumah. Di sekolah meskipun sedang berpuasa, penyampaian ilmu tetap diteruskan seperti biasa walaupun berhadapan penat dan letih. Namun, jika di rumah anak-anak bersama ibu bapa ada ketika boleh merehatkan mata dengan tidur. Amat berbeza sekali dengan guru.  Di sekolah,tiada istilah penat dan boleh lena begitu sahaja buat mereka walaupun letih berpuasa. Inilah cabaran mengajar ketika berpuasa. Demi masa depan anak-anak bangsa, guru terus cekal menyampaikan ilmu.  

Sudah menjadi budaya pendidik dalam apa jua keadaan, anak-anak didik mesti diutamakan. Tidak boleh sama sekali menjadikan alasan puasa untuk tidak mengajar ketika PdP. Alangkah indahnya Ramadan buat para guru. Di samping rutin mengajar, mereka turut mendapat pahala beribadah. Bayangkan betapa banyaknya pahala guru mendidik anak-anak bangsa ketika Ramadan lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya membentuk generasi Ramadani dengan kesempurnaan puasa dan ibadat hasil penerapan nilai dari kita yang bergelar guru! Terima kasih cikgu! Teruskan wahai guru!

USTAZ NORDIN AHMAD SIDEK
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Tambun
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Tambun
Ketua PAS Zon Chemor – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -