Bina kekuatan politik Melayu hadapi PRU15

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
Perikatan Nasional (PN) Kedah masih menaruh harapan postitif kepada pakatan yang disertai PAS sama ada Muafakat Nasional (MN) atau PN bagi mengukuh kekuatan politik umat Islam dan Melayu.

Pengerusinya Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah penting untuk mengukuhkan muafakat politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

“Kalau tak ada pilihan, sendirian pun kita lawan. Dulu pun kita pernah sendirian, namun dengan ada pakatan boleh membawa lebih banyak keuntungan,” katanya pada majlis berbuka puasa sempena Semarak Kasih Ramadan PAS Kuala Kedah kelmarin.

Sanusi juga berkata, PAS Kuala Kedah disaran mengulangi kembali kegemilangan PAS kawasan itu pada PRU 1999 apabila menang di kesemua tiga Dewan Undangan Negeri dan kerusi parlimen.

Kata beliau kemenangan 4-0 itu pernah diraih pada PRU sebelum ini boleh diulangi pada PRU akan datang.

Katanya perkara itu tidak mustahil berlaku apabila semua pihak bekerja bersungguh-sungguh untuk mengembalikan sejarah lama berulang kembali.

“Kerusi yang pernah menang tak mustahil menang kembali sebab yang tidak pernah menang pun PAS boleh menang.

“Tetapi syaratnya semua pendukung PAS perlu kerja bersungguh-sungguh,” Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Pada PRU lepas ketiga-tiga kerusi Dun di parlimen Kuala Kedah dimenangi pembangkang iaitu Anak Bukit (Pejuang), Kubang Rotan dan Pengkalan Kundor masing-masing Amanah. Manakala parlimen Kuala Kedah dimenangi PKR. – HARAKAHDAILY 11/4/2022

- Advertisement -