Lawatan ke luar negara beri kesan positif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat baru-baru ini berpeluang mengadakan kunjungan ke luar negara dalam usaha untuk merapatkan hubungan di antara PAS dengan komuniti Malaysia di luar negara.

Pengerusinya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata,  selain itu pihaknya mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di negara-negara yang dilawati.

- Advertisement -

Katanya, siri lawatan itu turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali.

Menurutnya lagi, lawatan tersebut bermula di Qatar, Perancis, Britain, Oman dan berakhir di Dublin, Ireland.

“Pihak Lajnah amat berbesar hati kerana berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di lima buah negara tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, di samping mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia, pihak lajnah juga turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara-negara terbabit yang sudi meluangkan masa untuk beramah mesra serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

“Semoga siri lawatan ke luar negara kali ini membuahkan hasil yang positif dan memberangsangkan seterusnya mampu diikuti dengan siri-siri lawatan ke luar negara di masa akan datang yang mampu mendatangkan manfaat yang baik untuk kemajuan PAS baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Batu Buruk berharap semoga segala usaha yang dijalankan itu mampu memberikan manfaat seterusnya diberkati dan dirahmati Allah SWT. – HARAKAHDAILY 9/4/2022

- Advertisement -