Hujah diperkukuhkan dengan bukti

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 7

KEBENARAN hujah Al-Quran tidak dapat disangkal oleh sesiapa. Segala keterangannya menjadi bukti kukuh keagungan Allah SWT dan kebenaran dakwah Baginda SAW. Golongan yang kufur lantas tidak beriman mempunyai jiwa kotor yang menyebabkan mereka tidak dapat menerima hujah kebenaran Al-Quran bahkan mendustainya. Lebih teruk lagi apabila mereka sanggup mencabar untuk didatangkan azab jika tidak menerima bukti tersebut. Allah SWT menjelaskan situasi mereka ini melalui firman-Nya:

قُلۡ إِنِّی عَلَىٰ بَیِّنَةࣲ مِّن رَّبِّی وَكَذَّبۡتُم بِهِۦۚ مَا عِندِی مَا تَسۡتَعۡجِلُونَ بِهِۦۤۚ إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ یَقُصُّ ٱلۡحَقَّۖ وَهُوَ خَیۡرُ ٱلۡفَـٰصِلِینَ.

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) daripada Tuhanku sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa). Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum. Dia yang menerangkan kebenaran dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”. (Al-An’am: 57)

- Advertisement -

Sesungguhnya, hujah yang jelas lagi terang itu adalah hujah daripada Al-Quran. Segala ayat berkait antara satu sama lain dan mempunyai sebab penurunannya tersendiri. Apabila manusia menolak dalil-dalil daripada Al-Quran, mereka sebenarnya menolak kekuasaan Allah dan menjadi golongan yang sesat lagi menyesatkan. Al-Quran sangat menekankan soal pembuktian dan menjadikannya neraca dalam proses menetapkan hukum. Segala dakwaan dan hujah yang dilontarkan mestilah dibawa dengan bukti jelas. Oleh kerana itulah, Rasulullah SAW menegaskan tentang perkara ini melalui sabdanya:

الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya. (Riwayat Al-Baihaqi)

Oleh itu, tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan yang dilontarnya. Bahkan dakwaan tersebut mesti diperkukuhkan dengan bukti, atau pengakuan kebenaran daripada pihak yang didakwa. Sehinggakan jika dituntut untuk bersumpah orang yang didakwa itu, maka hendaklah diberi ruang untuk dia berbuat demikian.

Begitu juga sekiranya seseorang itu membuat sesuatu dakwaan, maka hakim tidak boleh terus membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman hanya semata-mata berdasarkan dakwaan tersebut. Bahkan hendaklah pihak dirinya selaku yang mendakwa mendatangkan bukti-bukti yang menguatkan dakwaannya manakala hakim membuat keputusan dengan menilai kepada bukti-bukti tersebut.

Bagi para pendakwah dan pembimbing masyarakat, berbicaralah dengan hujah yang jelas serta membawakan sandaran yang jelas ketika menyampaikan seruan dakwah atau berdialog. Jika berdialog atau berbahas, gunalah dengan mujadalah hasanah atau perbahasan yang terbaik dan jauhi daripada unsur fanatik serta bersikap keras kepala.

Sekiranya orang yang berbahas itu pelaku kemungkaran atau pembawa ajaran sesat sekalipun, duduklah berbincang dengan baik seraya mengemukakan hujah yang bernas dan inilah jalan rintisan para Nabi terdahulu. Bercakaplah dalam ruang lingkup ilmu yang kita ketahui dan elakkan sebarang manipulasi serta suka bercakap apa sahaja perkara walaupun tiada asas ilmu sehingga ia menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat. Apa yang menjadi keutamaan ialah seluruh umat Islam mesti menjaga integriti ilmu dan keperibadian masing-masing.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
7 Ramadhan 1443/9 April 2022 – HARAKAHDAILY 9/4/2022

- Advertisement -