Dahului kemaafan

- Advertisement -

DALAM kitab Ramadhan Wa Al-Nas karya Syeikh Abdul Salam Hashem Hafiz menggesa agar seluruh umat Islam khasnya ketika berada di bulan Ramadan agar menjadi orang yang paling baik perilakunya dalam setiap pergaulan dan suka memaafi kesalahan orang lain:

- Advertisement -

ومن واجبك حسن المعاشرة، فعاشر الناس لله تعالى ولا تعاشرهم لنصيب لك من الدنيا، واجعل من هو أكبر منك بمنزلة الأب والأصغر بمنزلة الولد والمثيل بمنزلة الأخ وكن رفيقا في أمرك بالمعروف وشفيقا في نهيك عن المنكر، ولا تدع النصيحة في كل حال، ومن واجبك الحلم وهو أن تعفو عمن أساء إليك وأنت قادر عليه.

“Dan di antara kewajipan kamu ialah bergaul dengan baik, maka bergaullah dengan manusia kerana Allah Taala dan janganlah kamu bergaul dengan mereka kerana ada bahagian duniamu. Dan jadikanlah orang yang lebih tua daripada kamu sebagai bapa, yang lebih muda sebagai anak dan yang sama umur sebagai saudara. Dan jadilah sifat bertolak ansur ketika kamu menyuruh kebaikan dan ada sikap bertimbangrasa ketika mencegah kemungkaran. Jangan mengabaikan nasihat dalam apa jua keadaan dan menjadi kewajipan untuk kamu bersifat penyantun lagi bersabar iaitu kamu boleh memaafkan orang yang memperlakukan keburukan ke atas kamu sekalipun kamu mampu membalasnya”.

Menjadi pemaaf bukanlah suatu perkara mudah, memerlukan latihan hati dan kuat kebergantungan kepada Allah. Namun, kesan daripada sifat suka memaafkan ini sangat besar. Daripada sudut kesihatan, berdasar penelitian yang dilakukan membuktikan bahawa perasaan benci, dendam dan permusuhan akan meningkatkan tekanan darah tinggi. Sebaliknya amalan memaafkan boleh meredakan tekanan stress dan menjaga kesihatan jantung. 

Terdapat kajian telah dijalankan oleh University of Massachusetts di Amerika bahawa hidup tanpa marah dapat menurunkan tekanan darah dengan lebih cepat sehingga mencapai 20 peratus terutama kepada wanita. Apabila tekanan darah selalu tinggi, ia berupaya mendatangkan penyakit jantung dan saluran darah tersumbat yang boleh berakhir dengan strok dan kematian, ini sebagaimana kajian yang dinyatakan dalam Jurnal Perubatan: Circulation pada tahun 2000 bertajuk Tekanan Mental Boleh Merosakkan Dinding Dalaman Salur Darah Seseorang.  

Bahkan daripada sudut tasawuf, memaafkan orang lain dapat meningkatkan maqam seseorang kerana hatinya telah bebas daripada mazmumah dendam dan ammarah sebagaimana kata ahli tasawuf terkenal, Harits Al-Muhasibi. Allah S.W.T akan menjadikan seorang pemaaf sentiasa tenang dan dirinya berada dalam kondisi Nafs Radhiah, Mardhiah dan Muthma’innah. Sikap pemaaf ini sangat dituntut dalam kehidupan bermasyarakat dan berpolitik. Jadikanlah segala pergeseran dan khilaf dalam perkara cabang sebagai lumrah kehidupan yang boleh diraikan kepelbagaian pandangannya. Jangan kita bersengketa akibat perkara furu’ sehingga memberi ruang kepada musuh untuk membuat pelbagai serangan dan propaganda bagi menghancurkan kesatuan kita umat Islam. 

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 8/4/2022

- Advertisement -