Cari pelapis penarik beca elak warisan lama pupus

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Usaha mencari pelapis penarik beca di Kelantan perlu dilakukan bagi menggantikan mereka yang uzur dan meninggal dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, usaha itu perlu digerak supaya perkhidmatan beca tidak pupus begitu sahaja.

- Advertisement -

Katanya kebanyakan pengayuh yang ada sekarang berusia 60 tahun ke atas.

Oleh itu kata beliau golongan belia perlu tampil bagi meneruskan kerjaya tersebut kerana ia merupakan warisan di Kelantan yang perlu dipertahankan.

“Anak-anak muda yang menganggur tidak perlu berasa janggal bekerja sebagai pengayuh beca kerana ia merupakan sumber rezeki yang halal, biarpun pendapatan tidak seberapa,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Sara Hidup kepada penarik beca di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 17 pengayuh beca yang berdaftar menerima bantuan wang tunai sebanyak RM600 serta barangan keperluan harian bagi meringankan beban menyambut Ramadan.

Sumbangan tersebut merupakan pusingan pertama daripada peruntukan RM1,200 setahun yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan terbabit.

Selain itu mereka turut menerima keperluan dapur bernilai RM250 setiap seorang.

Md Anizam juga berkata, bagi membantu penarik beca kerajaan negeri turut menawarkan perkhidmatan baik pulih beca yang rosak secara percuma.

“Sekurang-kurangnya usaha tersebut dapat menarik minat belia yang menganggur untuk mencari rezeki sebagai pengayuh beca,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/4/2022

- Advertisement -