Oleh RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Rakyat di negara ini perlu memanfaatkan sebaik mungkin kelonggaran yang diberikan kerajaan setelah negara memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, orang ramai dinasihat tidak ambil ringan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, bagi mengelak kes Covid-19 meningkat kembali.
Katanya peningkatan kes tidak dapat ditolak berlaku semula sekiranya masih ada dalam kalangan anggota masyarakat memandang ringan terhadap SOP.
“Walaupun kelonggaran diberi kerajaan bermula Ramadan ini dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, namun SOP masih perlu dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri solat sunat tarawih di Madinah Ramadan malam semalam.
Solat tarawih tersebut diimamkan Sheikh Hisham Abdul Bari. Turut hadir Timbalan Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdul Fattah Mahmood.
Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, peralihan fasa endemik membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih di masjid, surau dan musala.
Begitu juga katanya sambutan Aidilfitri tidak dapat dirayakan sebagaimana lazimnya dua tahun lepas kerana wabak masih menular. – HARAKAHDAILY 4/4/2022