Sambut Ramadan kali ini sangat berbeza tahun lalu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, umat Islam akan menyambut Ramadan kali ini sangat berbeza daripada tahun lalu.

- Advertisement -

Ini, katanya susulan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan perkara berkaitan fasa endemik dengan beberapa perubahan kepada prosedur operasi standard (SOP) khususnya melibatkan aktiviti di masjid dan surau.

“Alhamdulillah, mulai hari ini solat berjemaah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa agama negeri-negeri juga telah membuat ketetapan masing-masing.

“Diharapkan masjid dan surau menjadi jantung hati umat Islam untuk bersama kita imarahkan.

“Kita rancakkan lagi Kempen Bulan Solat (Jom Solat) yang telah dilancarkan sejak Rejab dulu,” katanya lagi.

Tambahnya, di peringkat agensi agama persekutuan, bertemakan “Ramadhan Dirai, Ukhuwah Di Hati”, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YaPIEM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Taqwa-MAIWP, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Lembaga Tabung Haji dan seluruh agensi untuk melaksanakan program-program pengimarahan Ramadan.

Ini, ujar beliau melibatkan program imarah masjid dengan solat jemaah dan terawih, program turun padang, menyediakan juadah berbuka puasa, menyantuni asnaf dan fakir miskin dan program-program ilmu diperhebatkan melalui saluran TVAlhijrah dan Penyiaran JAKIM, Radio IKIMfm dan media sosial.

“Sungguh saya amat gembira dengan kesatuan Pasukan Menteri Agama yang telah memberi komitmen penuh menjayakan sambutan Ihya’ Ramadan,” katanya lagi.

Pagi tadi, beliau berada di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhimpun dalam majlis Pelancaran Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2022/1443.

“Sungguh, kita tentunya bergembira dengan kedatangan Ramadan yang membawa seribu satu kerahmatan, keberkatan dan keampunan,” ujarnya.

Pada bulan ini juga, kata beliau terhimpunnya segala mukjizat, ganjaran dan anugerah Allah yang tiada tolok bandingnya dan tidak akan diperoleh di bulan-bulan lain.

“Insya-Allah, Ramadan tahun ini kita gerakkan sebagai bulan penyucian jiwa, bulan untuk kita memperkukuhkan pengisian rohani, ulan mempertautkan silaturrahim dan ukhuwah umat.

“Ini yang mahu kita gerakkan bersama,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/4/2022

- Advertisement -