Muslimat sumbang mesin jahit kepada ibu tunggal

- Advertisement -

KAPAR: Skuad Prihatin Muslimat PAS Malaysia dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Kapar (DMPK) telah menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal di Kampung Sungai Serdang, di sini semalam.  

Projek di bawah Unit Pembangunan Murabitun Skuad Prihatin ini bertujuan membantu petugas-petugas sepenuh masa PAS yang telah banyak menyumbang keringat tenaga, jiwa dan masa di samping memberi sokongan moral buat mereka.  

- Advertisement -

Rombongan dihadiri Exco Muslimat PAS Malaysia, Dr. ‘Uyun Abd Malek dan Ketua Muslimat PAS Kapar, Ustazah Norhashifa Muhammad Solleh serta Ahli Jawatankuasanya, Asnah Jalal dan Mazanah Mat Ellah, juga Exco Muslim Care Malaysia, Zuriati Ya’akob dan Suryana Sutarzi.

Dalam ziarah tersebut, serahan sumbangan yang diberikan ialah mesin jahit dan barang-barang keperluan harian kepada Parida Dino, 35, seorang ibu tunggal lima anak yang suaminya telah meninggal pada 2019 akibat sakit jantung. 

Semenjak berkahwin, beliau tidak berkerja dan sepenuh masa menjaga anak-anak menyebabkan selepas kematian suaminya, beliau hilang punca pendapatan dan kini bekerja di Madrasah Darul Islam, Sungai Serdang sebagai tukang jahit. 

Minat beliau dalam bidang jahitan pakaian mendorong beliau untuk mula mengambil upah menjahit menggunakan peralatan madrasah.

“Saya berasa gembira dan teruja sangat ada orang tengok saya, syukur sangat-sangat. Dengan pemberian mesin jahit ini dapat saya jahit semua benda seperti vest, langsir, purdah, kain sarung, seluar dan sebagainya. 

“Saya hanya mampu berdoa ada orang bantu saya, moga Allah balas kebaikan ke atasnya. Anak-anaklah penguat semangat saya, walaupun saya tiada suami, saya boleh untuk teruskan kehidupan mencari rezeki. 

“Rumah sewa kediaman sekarang dinaiki air banjir dan banyak barang rosak terpaksa dibuang. Rumah tersebut mempunyai 2 bilik. Dan kini, dalam fasa mencari rumah sewa baru yang lebih sesuai dan kondusif untuk besarkan anak-anak,” ujar Parida.

Beliau berazam meneruskan perkhidmatan jahitan untuk menanggung pelbagai kos keperluan harian dan perlu mencari rumah sewa untuk sediakan ruang khas untuk menjahit.   

Dr ‘Uyun berharap dengan bantuan ini dapat membantu Parida dalam mencari rezeki dan dapat kembangkan lagi perkhidmatan jahitannya.

Skuad Prihatin mengalu-alukan orang ramai agar terus menyumbang bagi misi kebajikan yang seterusnya melalui akaun Maybank 5640 2540 0533, Parti Islam SeMalaysia. – HARAKAHDAILY 1/4/2022

- Advertisement -