Selarikan fokus martabat Bahasa Melayu

Peringkat nasional dan antarabangsa

- Advertisement -

SAYA menyambut baik usaha kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa melalui syor cadangan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam sesi perbincangan bersama pemimpin ASEAN baru-baru ini yang mana beliau mencadangkan agar Bahasa Melayu dijadikan bahasa kedua ASEAN. 

- Advertisement -

Cadangan yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri adalah bersandarkan kepada faktor yang amat signifikan iaitu selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. 

Namun, saya berpandangan pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa ini turut perlu diselarikan dengan pemerkasaannya di peringkat nasional. Antaranya menekankan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat pendidikan tinggi, menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. 

Saya tidak menafikan kepentingan untuk rakyat menguasai Bahasa Inggeris, namun pada masa yang sama, Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda kita seharusnya tidak dipinggirkan sehingga wujud dalam kalangan bangsa Melayu yang malu untuk berbahasa Melayu lantaran terlalu mengagungkan bahasa asing. Bahkan yang lebih mendukacitakan apabila rakyat Malaysia sendiri ada yang tidak tahu berbahasa Melayu. 

Catatan sejarah menukilkan Bahasa Melayu melalui tulisan Jawi telah berfungsi sebagai bahasa diplomasi atau disebut sebagai Lingua Franca bermula abad ke-7 sehingga abad ke-19 Masihi. Bahkan wujudnya warkah dan perjanjian dalam teks Bahasa Melayu antara banyak kerajaan Melayu dahulu dengan kuasa-kuasa Barat menjadi pembuktian kukuh mengenai kegemilangan Bahasa Melayu suatu ketika dahulu.

Justeru, saya berpandangan bahawa tindakan kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu ini merupakan suatu perkara yang wajar. Namun saya yakin usaha rintis Kerajaan ini sukar berjaya sekiranya ia tidak disokong dan diterjemahkan sebagai antara polisi utama jabatan-jabatan Kerajaan dan syarikat-syarikat swasta. 

Oleh itu, saya amat berharap agar usaha Kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa mendapat kerjasama semua pihak. Bahasa Melayu, bahasa ibunda kita, maka menjadi tugas dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk mengangkat bahasa kebangsaan yang kita cintai ini. 

“Islam Menyatukan Ummah”

YB DATO’ HUSAIN AWANG
Senator Dewan Negara – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -