PAS Sabah gerak Dapur Rakyat bantu mangsa kebakaran

- Advertisement -

Oleh ANNA TAN

TAWAU:
PAS Sabah mengambil inisiatif membuka Dapur Rakyat bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya.

Setiausaha PAS negeri, Dr Aliakbar Gulasan berkata, Dapur Rakyat disediakan bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sukarelawan mengedar makanan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Katanya, Dapur Rakyat beroperasi setiap hari termasuk sepanjang Ramadan ini dengan sokongan Sabah Relief, Iman Care dan Yayasan Amal.

- Advertisement -

“Seramai 10 sukarelawan terlibat menyediakan 300 pek makan tengahari dan malam setiap hari. Selain itu juadah berbuka dan sahur sepanjang Ramadan ini.

“Dapur rakyat menyediakan keperluan makanan harian kepada semua mangsa yang ditempatkan di sini,” katanya yang juga Adun (Dilantik) selepas merasmikan Dapur Rakyat dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa kebakaran di Kampung Masjid Kurnia Jaya semalam.

Pada kejadian 17 Mac lepas, kira-kira 700 rumah penduduk di Kampung Kurnia Jaya terbakar sehingga menyebabkan 500 keluarga hilang tempat tinggal.

Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah, Sahar Majid berkata, kehadiran Khidmat Malaysia dan beberapa NGO untuk bersama-sama berkongsi beban yang dihadapi mangsa kebakaran tersebut.

Pada majlis berkenaan PAS Sabah, PAS Tawau, Khidmat Malaysia, Sabah Relief, Iman Care dan Yayasan Amal menyampaikan sumbangan 100 pek makanan, 30 keperluan kanak-kanak dan 100 set pakaian.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Sabah Ahmad Dolah, Yang Dipertua PAS Tawau Mohamad Husain dan wakil PAS Relief, Yayasan Amal serta Iman Care. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -