Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mewujudkan Jaringan Keusahawanan dan Kepimpinan Wanita (WELL) bagi membantu memperkasakan keusahawanan wanita di Kelantan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, WELL diwujudkan melalui Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (Geric).
Katanya penubuhan badan itu bertujuan menghubungkan universiti dengan persatuan wanita dan NGO.
“Platform jaringan kerjasama itu melibatkan Women Leadership Foundation (WLF), Women Institute (WI), WENA dan pelbagai pihak lain.
“Antara tujuan utama penubuhannya untuk membuat kajian berkaitan kepimpinan dan keusahawanan wanita,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Program Kepimpinan dan Keusahawanan Wanita 2022 di sebuah hotel semalam.
Program bertema From Local ke Global itu anjuran Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global, Women Leadership Foundation (WLF), Women Institute (WI) dan Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK) berlangsung dua hari bermula 29 Mac.
Perasmiannya disempurnakan Timbalan Pengerusi (Keusahawanan dan Kebajikan) WLF dan Pengasas serta Pengarah Utusan Hyrax Oil Sdn Bhd, Dato’ Hazimah Zainuddin.
Turut hadir Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid. Hadir sama, Naib Canselor UMK Pro Dr Razli Che Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Ts Dr Arham Abdullah, Pengarah GERIC Prof Madya Dr Noorshella Che Nawi, Tengku Aniza Almarhum Tengku Abdul Hamid dan Pengarah Urusan Serai Group, Rina Abdullah.
Dr Nik Maheran yang juga penaung WELL berkata, pembabitan usahawan wanita amat penting supaya mereka tidak terlepas mencipta nama dalam bidang keusahawanan.
“Tanpa usaha yang gigih, semangat juang tinggi, mereka tidak akan dapat mencapai kejayaan yang dikecapi seperti sekarang,” ujarnya.
Menurutnya juga perkataan Life Balance sangat penting untuk wanita kerana kejayaan seorang wanita apabila mereka dapat mengimbangi kerjaya dan rumahtangga, cinta dan cita-cita, bahagia dan harta.
“Kejayaan sebagai pemimpin pula ialah apabila kehadirannya sebagai ketua memberi ketenangan dan inspirasi kepada orang di sekeliling untuk terus memajukan diri dan organisasi.
“Tidak berjaya seseorang itu jika kehadirannya tidak memberi manfaat kepada orang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2022