Kenapa pemeriksaan bangunan penting?

- Advertisement -

TENTU kita pernah mendengar mengenai kes-kes bangunan tiba-tiba runtuh dan yang paling menyedihkan kejadian tersebut telah meragut nyawa. Mungkin ada yang bertanya tidakkah terdapat tanda-tanda sebelum bangunan tersebut runtuh? Tidakkah terdapat sebarang undang-undang untuk mewajibkan sebuah bangunan diperiksa secara berkala? Jika pemeriksaan telah dilakukan maka sudah tentu terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa bangunan tersebut akan gagal atau runtuh sama sekali. Justeru tindakan dapat diambil untuk mengelakkan sebarang korban.

- Advertisement -

Sebenarnya terdapat undang-undang yang mewajibkan bangunan diperiksa. Menurut Akta Jalan, Parit Dan Bangunan (Akta 133), Seksyen 85A (Pemeriksaan Bangunan Secara Berkala) menetap setiap bangunan melebihi 5 tingkat perlu diperiksa oleh seorang jurutera selepas 10 tahun ia menerima Sijil Kelayakan Menduduki. 

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah mengeluarkan notis kepada pemilik bangunan agar pemeriksaan dilaksanakan selepas tempoh yang ditetapkan. Pemeriksaan yang selanjutnya adalah tidak lebih dari 10 tahun dari pemeriksaan yang pertama. Ini bermakna pemeriksaan perlu dilaksanakan setiap 10 tahun.

Undang-undang menetapkan pemeriksaan secara mandatori juga terdapat di negara-negara lain. Di Hong Kong, bangunan-bangunan yang berusia 30 tahun ke atas perlu diperiksa setiap 10 tahun. Sementara di Singapura, bangunan bukan kediaman wajib diperiksa selepas tahun kelima pembinaan sementara untuk bangunan kediaman selepas tahun kesepuluh pembinaan. Kekerapannya pula adalah setiap 5 tahun untuk bangunan bukan kediaman dan 10 tahun untuk bangunan kediaman.

Apabila notis telah dikeluarkan oleh PBT, pemilik perlu melantik Perunding Berdaftar dalam tempoh 60 hari. Apa akan terjadi jika pemilik mematuhi notis ini? PBT boleh melantik seorang Jurutera yang melakukan pemeriksaan dan menuntut kos yang ditanggung daripada pemilik.

Apa akan terjadi jika jurutera tersebut mendapati sebarang kerosakan, kecacatan atau kemerosotan pada bangunan tersebut? PBT boleh mengeluarkan arahan agar pemilik melaksanakan kerja-kerja pemulihan atau rektifikasi. Sekira keadaannya serius dan PBT berpuashati bahawa struktur bangunan itu tidak selamat maka PBT boleh mengarahkan agar bangunan tersebut ditutup malah dirobohkan.

Hanya segelintir dari kita yang memiliki bangunan melebihi 5 tingkat justeru mungkin ramai yang beranggapan Akta ini tidak ada kena mengena dengan mereka. Tetapi ramai di antara kita yang tinggal di pangsapuri-pangsapuri yang melebihi dari 5 tingkat. Oleh yang demikian anda yang tinggal di situ perlu mengambil tahu.

Dua kejadian yang berlaku di negara kita berkait rapat dengan Akta ini. Kejadian yang pertama adalah kebakaran Kompleks Membeli-Belah Campbell, Kuala Lumpur dalam tahun 1973. Kejadian kedua adalah runtuhnya Highland Towers, Hulu Kelang dalam tahun 1993 yang mengorbankan 48 nyawa. Selepas runtuhnya Highland Towers, bukan sahaja bangunan perlu diperiksa tetapi juga cerun-cerun. Justeru pemeriksaan bangunan mandatori ini adalah untuk  untuk keselamatan rakyat.

Mereka yang tinggal atau bekerja di bangunan-bangunan lama sepatutnya merasa bimbang akan keselamatan mereka. Risiko bangunan tersebut runtuh kerana kegagalan struktur atau terbakar kerana sistem pendawaian elektrik yang usang sudah tentu menghantui mereka. Tambahan pula terdapat pemilik atau pihak pengurusan yang tidak mengambil berat.

Seksyen 85A ini memberi kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan ke atas mereka. Malapetaka yang besar dapat dielakkan apabila sebarang masalah dapat dikesan lebih awal. Kita tidak mahu melihat satu lagi kes Highland Towers berulang lagi. Kos untuk pemeriksaan bangunan ini tidak sepatutnya dilihat sebagai pembaziran wang tetapi ia boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda. Pemilik bangunan, pihak pengurusan dan pemilik unit-unit kediaman perlu mengubah persepsi mereka jika ada yang masih menganggap pemeriksaan ini tidak penting. Wang ringgit boleh dicari tetapi nyawa jika melayang akan hilang untuk selama-lamanya.

PBT juga perlu mengambil tindakan-tindakan yang proaktif. Mereka perlu mengenalpasti bangunan-bangunan yang berisiko. Mereka tidak boleh bertolak ansur apabila ia melibatkan keselamatan. Walaupun terdapat bangunan yang kurang dari 10 tahun usianya atau yang kurang dari 5 tingkat namun terdapat kuasa-kuasa di bawah Akta yang sama yang membolehkan PBT bertindak.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
30 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -