12 inisiatif digitalisasi pertanian Kelantan

Pembentangan yang mengagumkan Sidang DUN

- Advertisement -

SAYA mula bertemu dan mengenali beliau sejak awal Januari 2020 dalam satu mesyuarat bagi membentangkan kertas kerja bagi pelaksanaan Program Kolokium Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan (2019-2023).

- Advertisement -

Saya merupakan Pengarah Program pada ketika itu. Namun, setelah beberapa bulan bertungkus-lumus membuat persiapan untuk program ini, akhirnya program ini terpaksa ditunda 3 hari sebelum tarikh program iaitu pada 16 Mac 2020. Situasi serangan pandemik COVID-19 pada ketika itu sedang kemuncak mengganas lalu keputusan berat terpaksa dibuat.

Jadi, saya mula mengikuti komitmen kerja sosok pemimpin ini sejak perkenalan melalui persiapan program tersebut. Kira-kira 2 tahun selepas perkenalan saya dengan beliau, semalam saya agak teruja mengamati pembentangan dalam sidang DUN Kelantan yang menjelaskan mengenai inisiatif berkaitan digitalisasi dalam sektor pertanian dan penternakan di Kelantan. 

Ya, beliau ialah Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar. 

Baiklah apakah 12 inisiatif digitalisasi yang beliau bentangkan dalam sidang DUN Kelantan semalam? Saya cuba jelaskan secara ringkas.

Pertama, kaedah pendigitalan Internet of Thing (IOT). Inisiatif bagi kaedah IOT ini membolehkan penyambungan peranti kepada rangkaian internet yang mampu mengawal suhu atau kelembapan, pH (Potential of Hydrogen) media tanaman, proses pembajaan dan meracun hanya dikawal melalui smartphone.

Kedua, Kaedah Pendigitalan Geospatial Pertanian. Inisiatif kaedah yang ini pula mampu untuk mengenalpasti bentuk muka bumi, ciri tanah dan kecerunan. 

Ketiga, aplikasi dengan penggunaan drone. Inisiatif dengan penggunaan drone ini sangat membantu petani yang melibatkan projek pertanian yang berskala besar. Penggunaan drone juga dapat membantu petani dalam menjalankan aktiviti pertanian seperti pembajaan dan meracun, sekali gus dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan penggunaan baja dan racun pada tanaman menjadi lebih berkesan dan lebih menjimatkan kos.

Keempat, aplikasi dalam talian 100 tip tanaman dan aplikasi Agrimaths sebagai rujukan dan panduan ringkas menjadi petani moden kepada golongan belia atau usahawantani yang baru mula berjinak dalam sektor pertanian. Dengan aplikasi di hujung jari ini boleh mendapatkan info teknologi pertanian terkini menerusi playstore aplikasi telefon pintar.

Inisiatif kelima pula, selaras dengan perkembangan teknologi evolusi Industri 4.0 ini juga, kilang tanaman (Plant Factory) mula dibangunkan di mana proses penanaman sayuran di dalam bangunan yang membantu petani untuk mencapai penghasilan sayuran secara berterusan sepanjang tahun tanpa gangguan disebabkan oleh bencana alam seperti banjir.

Inisiatif keenam ialah dalam sektor perikanan di mana Jabatan Perikanan Malaysia telah memperkenalkan dan menguatkuasa peralatan teknologi pegawasan pemantauan di laut iaitu Automatic Identification System (AIS) dan Mobile Transceiver Unit (MTU) pada vesel penangkapan ikan tempatan. 

Seterusnya inisiatif ketujuh, Jabatan Perikanan Malaysia juga sedang menjalankan program perintis pemasangan peralatan Radio-frequency Identification (RFID) dan kod QR bagi tujuan memudahkan pengenalan dan identifikasi vesel.

Kelapan, inisiatif untuk sektor akuakultur pula, Jabatan Perikanan Malaysia dalam proses merangka dan membangunkan penggunaan teknologi Geographic Information System (GIS) untuk ladang-ladang ternakan agar pengurusan sistem melalui integrasi data-data lebih bersistematik serta berhubungan demi memastikan elemen pengurusan sumber perikanan negara lebih produktif dan mampan.

Kesembilan, inisiatif digitalisasi seterusnya dalam sektor penternakan selaras perkembangan teknologi evolusi Industri 4.0.  Lalu telah dilancarkan Sistem E-Ternak dengan melibat dua fungsi utama iaitu sebagai Sistem Pendaftaran Lembu atau Kerbau dan juga Pelaporan Kemajuan Ternakan Pawah Secara Atas Talian (E-Pawah) untuk memudahkan pengisian, sekali gus memudahkan proses pelaporan kemajuan ternakan pawah yang melibatkan data ternakan seperti pendaftaran Lembu atau Kerbau, maklumat kelahiran termasuk kesihatan. Manfaat sistem ini mampu menyediakan sistem pemantauan dan pelaporan ternakan pawah dengan lebih cepat, mudah dan sistematik serta mesra pengguna.

Rentetan itu, inisiatif yang kesepuluh ialah sistem e-Baka. Sistem e-Baka tulen adalah bertujuan untuk memudahkan pendaftaran ternakan baka tulen sekali gus memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha pembiakbakaan yang telah dilakukan oleh para penternak atau usahawan ternakan bagi ternakan baka tulen seperti lembu, kerbau, kambing, bebiri dan babi. Manfaat yang diperolehi daripada sistem antaranya ternakan baka tulen tempatan mempunyai potensi genetic yang setanding dengan ternakan baka di luar negara di samping menambah nilai ternakan baka yang dihasilkan dalam Negara.

Selain itu, inisiatif ke sebelas, satu sistem telah dirangka iaitu Sistem Venom atau ‘Veterinary Online Map’ yang merupakan sebuah aplikasi pemetaan maklumat ternakan secara GIS yang dibangunkan bagi memplotkan maklumat industri ternakan. Dengan Lokasi ladang ternakan yang dipaparkan secara GIS beserta maklumat yang telah dilengkapkan, pengguna JPV berupaya mengenalpasti kedudukan dan mengetahui maklumat ladang-ladang ternakan.

Akhir sekali, inisiatif yang ke dua belas, sistem E-Vetpermit yang juga dikenali sebagai E-Permit2. Sistem ini diwujudkan bagi urusan sistem pengurusan permit pemindahan ternakan secara elektronik. Pemindahan ternakan dilaksanakan untuk tujuan pembiakan, pemeliharaan dan sembelihan, sementara produk haiwan sama ada sebagai makanan atau bahan mentah kepada proses seterusnya. Tiga aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam pemindahan haiwan, status penyakit di lokasi asal dan lokasi yang ingin ditujui serta kebajikan haiwan.

Begitulah 12 inisiatif digitalisasi dalam bidang pertanian dan penternakan yang telah dilaksanakan di bawah pemantauan YB Ustaz Tuan Saripudin. 

Saya kira, lebai-lebai yang dipandang sinis oleh sebahagian pihak, kini membuktikan diri mampu komited dalam menjayakan inisiatif kemajuan seiring dengan zaman di era revolusi perindustrian 4.0 sekarang ini. 

Jika sesiapa yang mengikuti video secara langsung (live) di Facebook boleh lihat bagaimana seluruh sidang dewan mengagumi segala inisiatif canggih digitalisasi yang dilaksanakan untuk sektor pertanian dan penternakan ini. Sememangnya Negeri Kelantan berbanding negeri-negeri lain mendahului dalam  sektor pertanian dan penternakan. 

Dengan pemimpin yang kompeten dan terampil seperti YB Ustaz Tuan Saripudin ini, saya kira potensi berkembang maju akan sentiasa cerah. Walaupun beliau berkelulusan dalam bidang agama, namun ia bukan penghalang. Bahkan beliau adalah exco kerajaan negeri yang paling ‘junior‘ berbanding Exco lain, tapi keberhasilan yang saya amati selama 2 tahun, begitu memberangsangkan. 

Semoga YB Tuan Saripudin terus mencipta keterujaan atas segala hasil kerja beliau kini dan seterusnya. 

ZIKRULLAH ISMAIL
Mantan Pengarah Program 
Kolokium PIPM 2020-2023
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -