Sesiapa yang mengemis di Saudi akan ditangkap

Pihak berkuasa keselamatan Arab Saudi kini telah memulakan operasi menangkap golongan yang mengamalkan kegiatan mengemis di negara itu. (FOTO Saudi Gazette)
- Advertisement -

RIYADH: Agensi keselamatan Arab Saudi yang pakar dalam keselamatan awam kini memulakan operasi menangkap sesiapa sahaja yang mengamalkan kegiatan mengemis di negara itu.

Jurucakap Keselamatan Awam, Brig. Gen. Sami Al-Shuwairekh berkata bahawa pihak berkuasa keselamatan telah mula menangkap semua orang yang mengamalkan kegiatan mengemis mengikut undang-undang anti-pengemis yang melarang pengemis dalam semua bentuk dan manifestasinya di Saudi.

- Advertisement -

Menurut Al-Shuwairekh, proses penahanan itu adalah mukadimah untuk merujuk pengemis itu kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk melakukan siasatan berhubung pelanggaran undang-undang, selain mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap golongan pengemis.

“Hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau denda tidak lebih daripada SR100,000 (RM112,139), atau kedua-duanya, akan dikenakan kepada sesiapa yang ditangkap mengamalkan kegiatan mengemis, atau sesiapa sahaja yang menghasut, bersetuju, membantu atau menguruskan kegiatan mengemis dalam semua bentuknya,” tegas  Al-Shuwairekh.

Beliau juga menegaskan, semua warga bukan Saudi yang telah dihukum kerana mengamalkan kegiatan mengemis akan diusir keluar dari negara itu selepas tamat hukuman mereka mengikut undang-undang anti-pengemis bagi orang bukan Saudi, selain dihalang daripada memasuki semula Arab Saudi.

“Orang ramai diminta  memberi sedekah melalui platform yang diluluskan yang menjamin jangkauannya kepada orang-orang yang benar-benar memerlukan agar amalan mengemis ini boleh dihapuskan.

“Sebarang kegiatan mengemis  di wilayah Makkah dan Riyadh boleh dilaporkan melalui telefon dengan menghubungi nombor (911) dan (999) di semua wilayah Saudi,” katanya. – Saudi Gazette

- Advertisement -