Kelantan peruntuk RM49 juta naik taraf loji rawatan air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di Wakaf Bharu dan kawasan sekitar dijangka selesai selepas kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air (LRA) siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Dato’ Sr Azami Mohd Noor berkata, LRA Wakaf Bharu sedang dalam proses dinaik taraf.

Katanya, ada beberapa LRA yang sedang dinaik taraf termasuk di Wakaf Bharu dan Ketereh di bawah peruntukan kerajaan negeri membabitkan kos kira-kira RM49 juta.

- Advertisement -

“LRA Wakaf Bharu akan beroperasi tidak lama dan dijangka akan dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

“Ia dijangka dapat digunakan sebelum sambutan hari raya. Dengan siapnya projek naik taraf tersebut masalah gangguan bekalan air di Wakaf Bharu dijangka selesai,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) pada persidangan Dun hari ini.

Menjawab soalan tambahan Amran Ariffin (BN-Paloh) Azami berkata, kelulusan projek pembinaan LRA baru bergantung kepada beberapa kriteria termasuk tapak loji dan sumber air yang sesuai.

Menurutnya, dua kriteria tersebut merupakan perkara utama yang perlu diambil kira sebelum pelantikan kontraktor dibuat bagi membina LRA.

Kata beliau juga pembinaan LRA baharu membabitkan peruntukan dari Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Bagaimanapun kerajaan negeri sedia berbincangan lanjut dengan YB Paloh mengenai permohonan membina LRA yang ditolak sebelum ini,” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Fauzi Abdullah (PAS-Manek Urai) Exco terbabit berkata, cadangan membina LRA di Kampung Laloh telah diangkat kepada KPLB.

Katanya, LRA baharu tersebut dengan kapasiti 20 juta liter padu sehari yang membabitkan kos sebanyak RM40 juta, turut meliputi pembinaan loji baru dan memasang paip agihan.

“Pelaksanaan projek tersebut perlu dikenal pasti tapak yang sesuai, kalau melibatkan tanah milik individu perlu melibatkan pengambilan balik tanah. Selain itu perlu diambil kira kesesuaian sumber air.

“Proses tersebut mengambil masa yang agak panjang sekurang-kurangnya tiga tahun. KPLB hanya sedia peruntukan, manakala kerajaan negeri perlu menyediakan tapak. Kita berharap projek tersebut dapat dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2022

- Advertisement -