Kelantan guna 100 dron perkasa sektor pertanian

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Sebanyak 100 unit dron digunakan bagi memperkasakan lagi sektor pertanian di Kelantan selaras perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inovasi terbabit digunakan bagi menyembur racun dan membaja.

- Advertisement -

Menurutnya, 80 unit dikendalikan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), manakala dua lagi digunakan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan satu Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

“Aplikasi dron sangat membantu petani yang melibatkan projek pertanian berskala besar, ia dapat membantu petani menjalankan aktiviti pertanian pembajaan meracun dan tabur benih.

“Pengunaan teknologi dron dalam sektor pertanian dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja, menjimatkan kos serta mengurangkan penggunaan baja dan meracun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) beliau juga berkata, kerajaan negeri menganjurkan kursus pengendalian dron kepada petani khususnya golongan belia yang berminat.

“Kita juga menganjurkan kursus pengendalian dron pertanian khususnya padi supaya petani kita memiliki lesen penerbangan bagi mengendalikan dron.

“Kita berharap dapat memberikan lesen mengendalikan dron kepada petani nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -