Pembangunan pendidikan di pedalaman diberi perhatian

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri prihatin terhadap pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman memandangkan pelajar terpaksa bergelut dengan keperluan pembelajaran ketika pandemik.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan berusaha meningkatkan prasarana termasuk penyelenggaraan dan membaik pulih bangunan sekolah.

- Advertisement -

Selain itu melengkapkan keperluan bahan bantu mengajar dan memastikan bilangan guru mencukupi.

“Usaha menyokong pembelajaran berterusan dalam kalangan pelajar Orang Asli di Gua Musang, Jeli, Dabong dan Kuala Krai turut diberi perhatian.

“Langkah terbabit dilaksanakan Yayasan Islam Kelantan (Yik),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Menurutnya juga usaha dilakukan bagi meningkat kecemerlangan peperiksaan melalui seminar dan program profesionalisme guru di samping menyalur bantuan zakat kepada pelajar keluarga miskin.

Kata beliau juga Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan turut bersama memastikan proses tersebut berjalan lancar.

Menurutnya JPNK melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) bagi melaksanakan pemantauan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPr).

Katanya, Jakoa menyediakan pengangkutan dari kawasan pedalaman di Gua Musang dan Jeli ke sekolah bermula 2022 selama 24 bulan yang membabitkan peruntukan RM14 juta.

“Jalinan kerjasama kedua-dua agensi tersebut turut melibatkan pelaksanaan kelas Prokhas di Kampung Aring 5 untuk menyampaikan akses pendidikan kepada pelajar Orang Asli di kawasan itu sejak 2019.

“Jakoa turut menyediakan wang saku kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang melibatkan 1,793 pelajar sejak awal tahun ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/3/2022

- Advertisement -