Pembangkang boleh lapor SPRM kalau ada bukti

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah semalam dikejutkan apabila seorang Adun pembangkang mendakwa sebuah konsultan meminta suapan berkaitan pembinaan bangunan asrama Universiti Islam Sultan Abdul Halim (UniSHAMS).

Menjelaskan isu tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Januari lepas meluluskan kaedah pembiayaan projek itu yang dibuat secara ‘built, operate and transfer’ (BOT) oleh syarikat swasta.

- Advertisement -

Kataya, skop projek tersebut diteliti jawatankuasa yang terdiri daripada kakitangan UniShams, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan Negeri.

“Manakala kaedah tawaran dilakukan secara ‘request from proposal’ (RFB) dan diurus pasukan perunding yang dilantik UniSHAMS.

“Dokumen tawaran RFB itu akan dikeluarkan pada Mei akan datang. RFB pun tak keluar lagi bagaimana boleh tuduh konsultan minta duit,” katanya.

Sebelum itu Dr Salmee Said (Amanah-Kota SiPuteh) ketika berucap pada persidangan Dun mendakwa sebuah konsultan meminta suapan projek pembinaan asrama UniSHAMS.

Oleh itu kata menteri besar, Adun terbabit dicabar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas dakwaan terbabit.

Katanya, beliau terkejut dengan dakwaan itu dan menganggapnya satu tuduhan serta tohmahan yang berat dan tidak berasas sama sekali.

“Sila buat laporan ke SPRM sekiranya dakwaan itu benar dan mempunyai bukti,” katanya ketika sesi penggulungan ucapan menjunjung kasih Titah Tuanku Sultan.

Menurutnya tuduhan terbabit dianggap tohmahan yang dibuat untuk menjatuhkan reputasi kerajaan negeri, (UniSHAMS) dan konsultan terbabit.

Kata beliau juga projek untuk membina bangunan UniSHAMS bagi menempatkan 2,000 pelajar. – HARAKAHDAILY 24/3/2022

- Advertisement -