Kenapa Malaysia harus berbangga dengan hutan Kelantan?

- Advertisement -

SEMALAM diadakan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2022. Negeri ini terus kekal memberikan keutamaan dan menghargai kehijauan hutan negeri.

Meskipun saban tahun puak pengkritik tegar kerajaan negeri mengejek Kelantan dalam aspek pengurusan hutan, namun hakikatnya Kelantanlah yang paling banyak mengekalkan peratusan kawasan berhutan dalam negara kita. 

- Advertisement -

Malaysia mengangkat tema ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun ini.

Kerajaan Kelantan memilih Taman Eko Rimba Bukit Bakar, Machang sebagai lokasi sambutan peringkat negeri. Ia selaras dengan komitmen negeri dalam membangunkan kawasan eko-pelancongan yang sudah pasti mampu menjana peningkatan sosioekonomi setempat. 

Majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa ini dibuat secara besar-besaran serentak di seluruh dunia. Ia sebagai simbolik kepada segala usaha ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

Antara perkara menarik dalam sambutan hari ini adalah turut dirasmikan pokok Chengal sebagai pokok rasmi bagi Negeri Kelantan dan juga pelancaran Pelan Induk Pembangunan Hutan Simpan Ulu Sat dan buku Trans Ulu Sat: Recreation Opportunity Spectrum dan Pengurusan Risiko.

Pemilihan pokok Chengal adalah amat tepat sekali, malahan amat sinonim dengan seni pembinaan rumah atau bangunan zaman dahulu rakyat setempat kerana kualiti kayunya yang terbukti keras, tahan lasak dan mampu bertahan ratusan tahun lamanya. 

Sebagai rekod, bagi peringkat nasional, pokok Merbau (Malacca teak atau Intsia palembanica) telah dipilih sebagai Pokok Kebangsaan pada 22 Ogos 2019 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan Negeri akan terus komited mengekalkan kawasan hutan yang mencukupi untuk kesejahteraan hidup masyarakat sejagat walaupun hasil daripada aktiviti perhutanan menduduki tangga keempat penyumbang kepada hasil negeri.

Litupan kawasan berhutan bagi negeri Kelantan pada masa ini adalah 51 peratus yang merangkumi luas 767,202.5 hektar. Manakala kawasan hutan simpan negeri pula adalah seluas 629,880.95 hektar bersamaan 42 peratus daripada keluasan negeri ini.

Nah, kenapa mereka yang ‘bencikan’ Kelantan berterusan menyerang pengurusan hutan Negeri Kelantan sedangkan data dan fakta sebenar adalah sebaliknya?

Jangan kata hanya rakyat Kelantan, tetapi Malaysia sendiri patut berbangga dengan hutan yang masih menghijau di negeri kami.

MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -