Skuad Prihatin Muslimat PAS santuni mangsa banjir

- Advertisement -

SEPANG: Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia terus menzahirkan perhatian terhadap kelangsungan hidup mangsa banjir pasca bencana alam itu menerusi sumbangan di PASTI Al-Huda, di sini kelmarin.

Program ziarah dan bantuan ini bertujuan mendekati mangsa banjir bagi sokongan moral dan memberi sedikit sumbangan sebagai satu inisiatif meringankan beban mereka yang menghadapi musibah banjir baru-baru ini. 

- Advertisement -

Rombongan ziarah ini dipimpin oleh Timbalan Pengerusi LKK Muslimat PAS Malaysia, Zurina Din dan Ketua Assabiqat Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Mahmud bersama beberapa ahli jawatankuasa LKK. 

Turut bersama dalam ziarah tersebut ialah Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan dan juga Ketua Muslimat PAS Kawasan Sepang, Saimah Nordin bersama para petugas setempat.

Menurut Wan Hasrina, ujian Allah itu hendak mengukur sejauh mana keimanan hamba dari segi bersyukur dan redha dengan pemberian daripada Allah S.W.T sendiri baik berupa yang baik mahupun buruk.

“Maknanya apabila kita redha dan terima apa yang Allah bagi, melihat dari sudut positifnya ada hikmah Allah bagi, bukan kita mengeluh kenapa dan sebagainya.

“Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah yang terbaik. Yang kita kena terima dan kita kena redha. Insya Allah mudah mudahan Allah ganti yang lebih baik lagi,” ujarnya. 

Lanjutan itu, serahan sumbangan kewangan dan senaskhah Al-Quran disampaikan kepada 14 mangsa yang mana ianya adalah hasil daripada sumbangan orang ramai menerusi Skuad Prihatin. 

Delegasi Muslimat PAS turut memanjangkan langkah dengan mengadakan kunjungan ziarah mangsa banjir ke rumah keluarga Ketua Muslimat Cawangn Jenderam Hilir, Tahirah Ahmad di Dengkil.

“Kalau kita tengok air tsunami, macam itulah, laju dia dan kuat bunyinya, kalau kata kita jatuh memang tak selamat. (Tetapi) Diuji macam mana pun, kita bersyukur sebab kita yang dipilih untuk diuji, saya amat bersyukur kerana Allah pilih saya. 

“Saya mengharap satu lagi jalanan saya, saya mula istiqamah dengan gerak kerja Islam dan saya hendak penghabiskan roh saya keluar dalam keadaan Islam, kita buat kerja ini bukan kita nak senang di dunia tetapi hendak senang di sana,” ujar Tahirah.

Skuad Prihatin mengalu-alukan orang ramai agar terus menyumbang menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia bagi mereka terus melaksanakan usaha-usaha ini. – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -