TAHFIZ-TVET Malaysia laluan kerjaya bagi pelajar tahfiz negara

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan TAHFIZ-TVET Malaysia, hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata melalui kerjasama erat itu telah mencetuskan idea untuk membangunkan model latihan TAHFIZ-TVET yang mana ia merupakan satu inisiatif dalam membentuk laluan kerjaya bagi pelajar tahfiz negara serta meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET.

- Advertisement -

“Pembangunan model latihan ini adalah selaras dengan Teras 2, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 iaitu “Mewujudkan Model Institusi Tahfiz”,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) Shah Alam berkata, kerajaan akan terus menyokong aktiviti yang memberi manfaat.

“Melalui Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK), satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kerja Pembangunan TAHFIZ-TVET (JKK Pembangunan TAHFIZ-TVET).

“Antara fungsi JKK ini adalah membantu dan menasihati institusi tahfiz negara dalam memperkasa kurikulum, bahan pengajaran dan pembelajaran, personel dan persijilan melalui SPKM, membincang dan mewujudkan halatuju dan laluan kerjaya pelajar tahfiz dalam bidang TVET.

“Selain itu, mengenal pasti keperluan permintaan program TVET di institusi tahfiz berdasarkan keperluan semasa dan menasihati keperluan program yang sesuai serta menyelaras isu, cabaran dan memperkukuh serta memperkasa latihan TVET melibatkan institusi tahfiz negara,” katanya.

Mengulas lanjut kata beliau, JKK Pembangunan TAHFIZ-TVET dianggotai oleh pelbagai agensi awam seperti JAKIM, Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri, Institusi TVET, Institusi Latihan Tahfiz Awam dan Swasta yang terlibat secara langsung dalam memperkasa pendidikan TAHFIZ-TVET di Malaysia.

“Melalui penubuhan JKK ini, pelajar tahfiz akan memperolehi peluang mendapatkan latihan kemahiran yang sistematik melalui Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran TAHFIZ-TVET Malaysia, bertempat di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam.

Menurut beliau, sokongan padu dan kerjasama strategik pelbagai pihak merentasi pelbagai kementerian dan institusi adalah sinergi penting dalam memastikan kejayaan pembangunan TAHFIZ-TVET.

“Kerjasama strategik ini perlu diperkasa secara berterusan dalam memastikan hasrat negara meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran lepasan tahfiz dalam pelbagai bidang TVET menerusi peluang dan laluan kerjaya yang luas dapat direalisasikan secara holistik.

“Sumbangan idea dan khidmat nasihat daripada tuan-tuan dan puan-puan dapat membantu ke arah melahirkan pelajar-pelajar tahfiz yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang TVET demi kepentingan pembangunan sumber tenaga mahir negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -