Kemaskini tatacara urus jenazah COVID-19

- Advertisement -

BANYAK ilmu baru kita belajar dalam pengurusan COVID-19 dan sentiasa mengemas kini pengurusan terbaik demi kebaikan masyarakat juga akhirnya. Sama seperti pengurusan jenazah COVID-19 jika sebelum ini kita mengambil model yang telah digunakan bagi menguruskan jenazah pesakit Ebola sebagai tanda aras kita untuk menguruskan sakit COVID-19. 

Mungkin ianya perlu dinilai semula berdasarkan kepada dapatan-dapatan kajian yang juga telah dilakukan di seluruh dunia. Saya mengambil beberapa contoh untuk diambil perjalanan andai kata kita ingin mengubah ataupun mengemas kini pengurusan jenazah COVID-19 ini. Ianya lebih kepada pembacaan peribadi saya dan mungkin boleh diperbincangkan lagi untuk kesesuaian dalam negara kita terutama sekali apabila melibatkan hukum agama-agama. Kami tahu penentuan hukum dan fatwa terserah kepada ahli hukum.

- Advertisement -

Kajian dari Australia menunjukkan bahawa tidak meningkatkan risiko jangkitan di kalangan pekerja yang menguruskan mayat COVID-19 di sana.

GMJ protokol UK mendapati bahawa transmisi dari mayat adalah minima. Jenazah, selepas dari 72 jam transmisi jangkitan sudah tiada. Mayat tidak bernafas atau mengeluarkan cairan pernafasan, jadi sumber utama jangkitan sudah berkurangan. Mereka juga bersetuju bahawa jangkitan dari mayat positif COVID-19 adalah rendah dan tiada kes di kalangan pengendali mayat di sana dijangkiti oleh COVID-19.

European CDC juga menyatakan jangkitan dari mayat COVID-19 adalah rendah kecuali bagi kes yang memerlukan post-mortem kerana melibatkan cecair badan. Perlindungan diri seperti PPE diperlukan bagi mengelakkan jangkitan. 

Begitu juga mereka menyatakan bahawa majlis pengebumian bagi pesakit COVID-19 adalah rendah risiko dijangkiti kerana mayat itu sendiri telah dirawat. Lagipun mayat telah dijalankan kafan dengan lapisan plastik dan pengawet. Justeru bagi waris yang ingin mengiringi jenazah adalah dibenarkan dengan syarat memakai perlindungan diri dan mengikuti SOP standard. 

Penentuan hukum oleh institusi fatwa adalah berdasarkan Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias. Dalam masa sama ianya bergantung kepada waqi semasa setelah perbincangan lumat di antara ulamak dan ahli perubatan. Kaedah menguruskan jenazah ketika wabak itu perlu mendapat persetujuan kedua-duanya sebagai ahli ikhtisas menurut bidang masing-masing. Ianya boleh berubah dari masa ke semasa berdasarkan kepada dapatan-dapatan yang terkini yang dibentangkan oleh pakar-pakar di dalam bidang tersebut.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/3/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -