Berjiwa besar, bagaimana?

- Advertisement -

SEBAGAI seorang ahli PAS, kita kerap diberitahu bahawa kita sekarang adalah parti kerajaan. Tetapi sebenarnya tidak ramai yang memahami apa yang dimaksudkan dengan berjiwa besar atau bagaimana hendak berjiwa besar.

Adakah berjiwa besar ini terletak pada semangat dan sikap semata-mata atau terdapat peruntukan-peruntukan atau bantuan-bantuan yang diturunkan untuk melicinkan gerak kerja di peringkat akar umbi? PAS tidak mengharapkan peruntukan kerajaan untuk membiayai gerak kerja atau urusan parti tetapi yang penting adalah bantuan-bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat. PAS kerap memungut dana untuk membantu rakyat tetapi jika terdapat peruntukan kerajaan sudah tentu lebih ramai rakyat akan mendapat manfaat.

- Advertisement -

Adakah dengan menjadi kerajaan sikap jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan juga telah menjadi lebih mesra kepada aktivis-aktivis PAS? Adakah penjawat-penjawat hari ini lebih terbuka dengan aktivis-aktivis kita? Hubungan yang baik dan kerjasama daripada penjawat awam ini perlu di dalam usaha kita untuk berperanan di dalam masyarakat. Bukan untuk mengambil kesempatan untuk kepentingan diri tetapi untuk membantu rakyat atau menyelesaikan masalah rakyat. Ini penting kerana sebagai aktivis parti kerajaan, rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap mereka. 

Rakyat sekarang melihat aktivis PAS seperti melihat kerajaan. Permohonan-permohonan untuk mendapatkan bantuan diterima walaupun mereka bukan wakil rakyat. Seperti daripada masjid, surau, sekolah, persatuan penduduk dan individu. Mereka juga diminta untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan atau masalah invidividu terutamanya yang melibatkan kerajaan. Daripada masalah yang melibatkan Pejabat Tanah seperti masalah geran tanah kepada masalah yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti masalah anjing liar. Malah terdapat masyarakat yang datang ke Pejabat PAS untuk mendapatkan cop dan tandatangan untuk urusan dengan sekolah. Alasan mereka adalah PAS sebuah parti kerajaan walaupun PAS tiada wakil rakyat di kawasan tersebut.

Untuk bantuan kepada rakyat terdapat saluran-saluran yang boleh dimanfaatkan terutamanya melalui pimpinan PAS yang memegang jawatan di dalam kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah GLC. Tetapi bagaimana jika mereka perlu berurusan dengan jabatan-jabatan atau agensi-agensi kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat? Jabatan dan agensi tersebut memang diwajibkan melayan orang ramai yang datang bertemu mereka. Tetapi adakah sebagai aktivis parti kerajaan mereka akan menerima perhatian yang lebih? Perhatian yang lebih ini perlu untuk memungkinkan mereka menyelesaikan sebarang masalah dengan segera.

Mungkin jika mereka memegang jawatan rasmi di dalam kerajaan seperti Penyelaras Parlimen atau Penyelaras DUN layanannya adalah berbeza. Atau mungkin jika mereka berkhidmat dengan pejabat Menteri, Timbalan Menteri, agensi kerajaan atau GLC layanannya juga adalah berbeza. Tetapi jika mereka datang sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan atau Ketua PAS Cawangan kemungkinan besar mereka akan dipandang dengan sebelah mata walaupun PAS adalah parti kerajaan. 

Mungkin untuk memasuki kawasan sekolah juga tidak dibenarkan. Kita tidak boleh menyalahkan para penjawat awam kerana mereka perlu patuh kepada arahan dan peraturan. Ada yang boleh bertolak ansur tetapi ada yang tidak berani. Justeru bagaimana aktivis di bawah hendak berjiwa besar? Hanya mereka yang pernah mengalaminya akan memahami.

Walau bagaimanapun aktivis kita tetap gigih. Sebagai pimpinan parti kerajaan walaupun pada peringkat yang paling bawah atau ahli biasa sekalipun, ramai di antara mereka yang telah melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan polisi-polisi dan tindakan-tindakan kerajaan. Walau bagaimanapun di mana terdapat perkara-perkara yang mereka tidak bersetuju mereka tetap akan menyatakan pandangan. Namun begitu mereka tetap akan cuba memahami kenapa sesuatu keputusan itu diambil. Sama ada dengan mencari fakta-fakta sebenar dan bukan yang telah diselewengkan oleh para cybertrooper atau bertanya kepada pimpinan pada peringkat yang lebih tinggi.

Mereka melakukannya bukan kerana mereka mendapat bayaran daripada sesiapa. Mereka tidak memiliki apa-apa jawatan di dalam kerajaan atau merupakan perlantikan-perlantikan politik tetapi kesungguhan mereka mempertahankan kerajaan seolah-olah mereka menerima elaun puluhan ribu ringgit sebulan. Malah mereka mungkin tidak pernah berjumpa dengan mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri. Mereka mungkin juga tidak pernah menjejakkan kaki ke pejabat-pejabat di Putrajaya. Tetapi mereka mempunyai satu tekad iaitu untuk melihat kerajaan hari ini terus kekal dan PAS terus berada di dalamnya untuk membawa suara Islam.

Kerajaan perlu menzahirkan kehadirannya di peringkat akar umbi jika mereka benar-benar serius untuk terus kekal selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang atau mahu merampas mana-mana negeri atau kerusi pembangkang. Mereka tidak boleh hanya mengharapkan jentera kerajaan tetapi mereka amat memerlukan komitmen dari jentera politik. Sekadar sekampit beras, sepeket tepung, sebungkus mee segera dan setin sardin pada bakul makanan yang diedar ketika berlaku bencana belum cukup memadai untuk meningkatkan keyakinan rakyat. Akhirnya parti politik yang akan menyertai pilihan raya bukan jabatan kerajaan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 9/3/2022