Kadar kemiskinan mutlak, bandar dan luar bandar Malaysia menurun

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kadar kemiskinan negara menurun dengan ketara berbanding lima dekad dahulu dengan kadar kemiskinan mutlak peringkat nasional turun daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.

Selain itu, kadar kemiskinan di bandar menurun daripada 21.3 peratus kepada 3.8 peratus, manakala kadar kemiskinan di luar bandar menurun daripada 58.7 peratus kepada 12.4 peratus.

- Advertisement -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, berkata antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian ini, termasuk pertumbuhan kadar ekonomi yang memberangsangkan.

Menurutnya, secara keseluruhan dalam tempoh lima dekad, pertumbuhan purata ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus setahun antara 1971 hingga 2021, manakala bagi tempoh 1971 hingga 1990, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 6.7 peratus.

Katanya, faktor lain ialah Dasar Ekonomi Baru yang memberi tumpuan kepada membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Penubuhan institusi seperti MARA, UDA dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, pula menyokong pembangunan taraf sosioekonomi Bumiputera dengan meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan dan pemilikan ekuiti.

“Penubuhan FELDA dan FELCRA untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dalam usaha pembasmian kemiskinan melalui penanaman kelapa sawit dan getah,” katanya ketika menjawab soalan lisan Tan Kok Wai (PH-Cheras) di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun, Mustapa berkata terdapat beberapa isu dan cabaran yang masih wujud, iaitu kelompok kemiskinan masih ada di kawasan tertentu bandar, terutama kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan pedalaman di luar bandar.

Katanya, pampasan kepada pekerja (CE) kepada KDNK di Malaysia masih rendah, iaitu 37.2 peratus berbanding negara maju kira-kira 50 peratus.

Selain itu, katanya ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri serta kawasan bandar dan luar bandar terus wujud.

“Sebagai contoh pada tahun 2020, nisbah jurang pembangunan KDNK per kapita wilayah Sabah berbanding wilayah Tengah (Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan) adalah 2.8,” katanya.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 juga memberi impak besar kepada pendapatan isi rumah dan dianggarkan menyebabkan kadar kemiskinan meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020.

Sementara itu, katanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025, pelbagai strategi dan inisiatif sedang dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan struktur ekonomi dan isu jurang pembangunan.

Katanya, antara perubahan yang akan dilaksanakan adalah transformasi pendekatan pembasmian kemiskinan tegar secara holistik menggunakan pendekatan keseluruhan negara dengan kerajaan menyasarkan sasaran sifar miskin tegar menjelang tahun 2025. – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -