Oleh SYAHIRAH SALLEH
PENGERANG: Calon Perikatan Nasional, Selamat Ujud menyeru para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya menunaikan tanggungjawab dan melakukan perubahan.
Beliau yang bertanding di DUN Tanjung Surat juga berharap pengundi muda yang berada di luar kawasan supaya pulang mengundi dan membuat perubahan pada PRN kali ini.
“Harapan saya kepada pengundi, terutama pengundi muda, pulang mengundi, buat perubahan.
“Kalau sekadar hendak keluar mengundi, kekalkan (kerajaan) yang ada, tak payah,” ujarnya berseloroh.
Ini, katanya kerana rakyat sudah melihat para pemimpin Umno sekarang dan sebelum ini yang melakukan rasuah, penyelewengan dan lain-lain.
“Sebab kamu sudah tengok bagaimana keadaan (Umno) sekarang, sebelum itu. Takkan kamu nak kekalkan seperti mana sekarang dan akan datang?
“Kalau selama ini kita hendak kata pemimpin itu korupsi, pemimpin itu seleweng, salah guna kuasa dan sebagainya, kamu sudah lihat, bagaimana ia berlaku.
“Hukuman telah berjalan, siapa yang mempertahankan, kenapa orang salah hendak dipertahankan, patutkah kita berbuat demikian?” ujarnya kepada Harakahdaily di sini.
Ini, ujar beliau kerana sepatutnya pemimpin yang telah terbukti bersalah biarlah dihukum dan rakyat mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin lain menggantikan mereka.
“Dalam PAS, parti yang kita dukung pun begitu juga. Sebab itu Almarhum Tuan Guru Nik Aziz kata, kalau 24 jam tak cukup (siasat rasuah), saya bagi 25 jam satu hari, siasatlah. Tiada masalah. “Kenapa? Menunjukkan ketelusan hati kita,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengerang.
Beliau menegaskan bahawa seseorang yang dituduh tidak dianggap bersalah selagi belum dubuktikan bersalah dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
“Kalau dah dijatuhkan hukuman mahkamah, bersalahlah. Sudah dua kali dijatuhkan hukuman mahkamah, tak salah lagi?” ujarnya yang mesra dengan panggilan Cikgu Selamat.
Beliau dikenali di kawasan DUN Tanjung Surat kerana mula berkhidmat di Pengerang sejak 4 Januari 1987 sebagai guru di Sekolah Kebangsaan LKTP Kledang.
Pada 1997, beliau menyambung pelajaran dan mengambil bidang bimbingan dan kaunseling.
Cikgu Selamat yang menamatkan pengajian pada 2001 dilantik pula sebagai guru bimbingan dan kaunseling pada 2003 di SMK Tanjung Datuk, Pengerang.
“Dari 2003 itu, saya hanya dua tahun di SK Tanjung Datuk, saya telah diminta untuk bertukar ke SMKA Bandar Penawar pada 2004 sehingga pertengahan Mei 2007,” katanya.

Selepas itu beliau dipindahkan ke SMK Bandar Mas, juga di Pengerang iaitu dalam DUN Penawar sehingga bersara pilihan pada 2019. – HARAKAHDAILY 7/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!