Krisis Ukraine: PM Pakistan selar Barat paksa kecam Rusia

- Advertisement -

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyelar utusan Barat yang berpangkalan di sini, yang minggu lalu berusaha untuk menekan negara itu supaya mengutuk tindakan Rusia dalam krisis di Ukraine.

Ketua 22 misi diplomatik, termasuk negara anggota Kesatuan Eropah (EU), mengeluarkan surat bersama pada 1 Mac lalu menggesa Pakistan menyokong resolusi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengecam serangan Rusia ke atas Ukraine.

Tindakan mengeluarkan surat rasmi secara terbuka oleh EU kepada sesebuah negara jarang berlaku.

- Advertisement -

“Apa pendapat kamu tentang kami? Adakah kami hamba kamu … bahawa apa sahaja yang kamu katakan  (arahkan), kami akan lakukan?” soal Khan ketika berucap pada perhimpunan politik di sini pada Isnin (7 Mac).

Khan juga mempersoalkan adakah EU menghantar surat terbuka kepada negara jiran Pakistan, iaitu India.

“Saya ingin bertanya kepada duta EU (di Islamabad): Adakah anda menulis surat sedemikian kepada India?” tegas Khan sambil menyatakan negara musuh ketat Pakistan itu telah mengambil sikap berkecuali dalam isu krisis di Ukraine itu.

Menurut Khan, negara-negara Eropah tidak mengecam India atas tindakan negara itu di Kashmir, kawasan pergunungan di mana Pakistan dan India telah terbabit dalam perang sebanyak dua kali.

Pakistan meraih perhatian EU susulan lawatan Khan ke Moscow pada akhir Februari dan bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin beberapa jam selepas presiden Rusia mengarahkan tenteranya memasuki Ukraine.

“Kami (Pakistan) berkawan dengan Rusia, dan kami juga berkawan dengan Amerika Syarikat; kami berkawan dengan China dan Eropah; kami tidak berada (berpihak)  di mana-mana kem (negara),” tambah Khan, sambil menegaskan Pakistan akan kekal dengan sikap berkecuali dan bekerjasama dengan pihak yang berusaha menamatkan krisis di Ukraine itu. – TRTWorld

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -