Bertabahlah Kuala Lumpur

- Advertisement -

PETANG ini media sosial trending dengan hashtag #KLBanjir. Masing-masing terkejut dan keliru!

“Hujan lebat. Air naik cepat. Jalan raya dan lebuhraya tenggelam. Parking tenggelam. Owner tengah kerja. Tak sempat selamat kereta. Sangkut atas highway,”
 adalah antara butir bicara pengguna alam maya.

- Advertisement -

Banjir kilat berlaku hampir di semua laluan dalam kota raya. Air melimpah ke atas jalan, kenderaan terperangkap dalam kesesakan trafik adalah isi utama video yang ditularkan oleh ramai warga Kuala Lumpur.

Kuchai Lama, Bukit Jalil dan Puchong sedang dilanda banjir besar. Lokasi lain termasuklah Jalan Raja Chulan, Dataran Merdeka, OUG Old Klang, Awan Besar, Kepong, Sg Buloh, Pandamaran Klang dan beberapa lagi. 

Tiada apa yang mampu kita ungkap melainkan menadah tangan berdoa kepada Allah S.W.T agar air ini cepat pergi dan surut, dielakkan sebarang bahaya serta bencana, dihentikan hujan lebat dan diselamatkan semuanya.

Kami di Kelantan baru sahaja ditimpa bencana yang sama. Ada kawasan yang sudah pulih setelah air banjir surut. Dan ada juga kawasan yang masih bergenang air khasnya dalam kawasan DUN Pengkalan Kubor.

Banjir termenung, air lambat surut, paras laut lebih tinggi daripada air sungai serta beberapa sebab yang lain.

NGO serta sukarelawan masih ramai yang sedang datang ke sini untuk menyampaikan pelbagai jenis bantuan. Ada yang turun membantu dalam proses pembersihan rumah. Kami gelarkannya aktiviti ‘gonyoh gaha’

Itu situasi banjir kami di Kelantan. Situasi di mana setiap kali berlakunya banjir, akan ada sahaja sekumpulan mereka yang akan mulai menuding jari ke arah situ dan sini. 

Akan mulai dipersalahkan pimpinan kerajaan negeri, disalahkan YAB Menteri Besar dan Timbalan, dituding pula ke arah aktiviti perhutanan serta pertanian dan ke mana sahaja arah jari telunjuknya mahu dihunus.

Kadang-kadang langsung tidak difikirkan soal musim, monsun Timur Laut, faktor angin, keadaan muka bumi serta asbab yang lain. Banjir sahaja Kelantan, maka akan dikait terus dengan balak. Balak ini dikait pula dengan pimpinan kerajaan, yang langsung menafikan faktor hujan lebat luar biasa yang selalu berlaku. 

Kebencian politik dan dendam siyasah menyebabkan segelintir manusia berfikir dengan tidak rasional apabila berkait banjir di Kelantan. 

Lalu terpacullah kata-kata “Di mana Lebai?”, “Lebai buat apa?”, “Membalak bersama ulamak” dan pelbagai lagi konotasi negatif.

Itulah dia situasi pemikiran ‘orang’ apabila banjir berlaku di negeri kami. Biarlah…

Apa pun, faktor utama banjir di KL sudah pasti berkait dengan hujan yang terlalu lebat, aliran dan parit yang tidak mampu menampung jumlah air, longkang yang tersumbat dengan sampah sarap serta beberapa yang lain lagi. 

Kelihatan banyak hantaran di Facebook yang menunjukkan kesungguhan pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antaranya sedang berhempas pulas membersihkan laluan longkang tersumbat. Di Pudu pula para peniaga kalut mengutip sampah yang hanyut di atas tar bagi mengelakkan saluran air terus tersumbat.

Semoga usaha kalian semua diberkati Allah S.W.T dan kami rakyat Kelantan berdoa agar air banjir Kuala Lumpur lekas surut dan mengalir pergi. Dan semoga semua penduduk Ibu Negara terus dilindungi serta diselamatkan-Nya selalu.

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -