AKSB bangun aplikasi lebih mesra pelanggan

- Advertisement -

MUHAMMAD AIR ISMAIL | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membangunkan aplikasi yang lebih mesra pelanggan termasuk menyediakan menu ‘aduan pengguna’.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti negeri, Dato’ Sr. Azami Mohd Noor berkata, versi ‘myAKSB’ itu turut menyediakan pembayaran atas talian.

- Advertisement -

Menurutnya, usaha itu bertujuan bagi memberi kemudahan kepada lebih 200,000 pengguna mendapatkan maklumat serta memudahkan urusan.

“Pengguna hanya perlu tekan pada akauan yang dikehendaki untuk melihat bil secara terperinci, dan boleh muat turun bil untuk rujukan.

“Pada menu aduan pengguna hanya perlu masukkan maklumat aduan, ia juga membenarkan untuk menggunakan kamera untuk muatnaik aduan.

“Untuk makluman gangguan bekalan air, pengguna boleh memilih untuk melihat makluman bagi kawasan atau jajahan mereka sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Media Kelantan di Hotel Perdana di sini malam tadi.

Turut hadir Pengurus Besar AKSB, Dato’ Ir Dr. Azuhan Mohamed dan Presiden Kelab Media Kelantan, Shahnom Haniff Abdullah Suhaimi.

Unit Sistem Teknologi Maklumat AKSB telah memulakan usaha untuk menyediakan satu platform baru sesuai dengan perkembangan semasa.

Aplikasi yang melibatkan semua peranti android itu dibangunkan secara dalaman dengan pelancaran versi pertama pada September 2016.

Pada peringkat awal pelancarannya sistem itu hanya melibatkan modul seperti semakan bil, maklumat bekalan air serta penukaran paip.

Pada Januari 2019, versi iOS pula berjaya dibangunkan malah bagi peranti android terus dinaik taraf dengan fungsi muat turun bil. – HARAKAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -