Ikrar Perikatan Nasional komitmen yang realistik

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Ikrar Perikatan Nasional Demi Bangsa Johor bagi menghadapi pilihan raya negeri yang ditawarkan bukan retorik semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau ia merupakaAn satu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti adalah sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

- Advertisement -

Menurutnya, ikrar itu berteraskan lapan tunjang utama iaitu kepimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, kerancakan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Tambahnya, antara ikrar yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional jika diberi peluang ialah pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Katanya, nasib golongan penjaja dan nelayan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 juga akan dibela dengan menghapuskan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan pihak berkuasa tempatan untuk tempoh selama lima tahun.

Selain itu, ujarnya bantuan khas nelayan serta memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, bakul makanan Johor Prihatin serta bantuan prihatin rakyat termasuk untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Semua ini akan dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup dan meringankan beban hidup rakyat negeri Johor,” katanya menerusi laman Facebook.

Menurutnya lagi, menyedari peranan besar golongan anak muda di Johor, Perikatan Nasional juga akan menyediakan pelbagai insentif seperti program bantuan, latihan kemahiran dan menyediakan komputer riba percuma kepada anak-anak muda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat juga akan disediakan untuk mengoptimumkan penglibatan kumpulan ini bagi memastikan kumpulan ini tidak terpinggir, ujarnya.

“Saya juga mengulangi ikrar Perikatan Nasional akan terus prihatin terhadap nasib warga Felda terutama yang berkaitan dengan isu perumahan,” kata beliau yang melancarkan ikrar itu, kelmarin.

Sebelum ini, katanya Perikatan Nasional sudah membuktikannya dengan menghapuskan hutang peneroka yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional berjumlah RM8.3 bilion.

“Insya-Allah kami akan memastikan projek perumahan generasi baharu yang sedang dibaik pulih disiapkan segera dan projek perumahan generasi baharu Felda terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih diselamatkan,” tambahnya.

Beliau berkata, penawaran perumahan mampu milik juga akan ditingkatkan dengan cara memulihkan projek terbengkalai dan penambahan rumah transit manakala penawarannya pula dilaksanakan secara  telus.

Beliau menambah, bagi memastikan semua ikrar yang dilafazkan itu direalisasikan, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai oleh golongan profesional dan berpengalaman dalam kalangan anak Johor akan ditubuhkan.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor bersatu hati dan memberi mandat serta peluang kepada Perikatan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat demi masa depan Bangsa Johor sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2022

- Advertisement -