PAS, GNIPP serah memo pertahan akidah umat Islam

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

GEORGETOWN:
PAS bersama Gabungan NGO Islam Negeri Pulau Pinang (GNIPP) menganjurkan perarakan himpunan aman solidariti dan penyerahan memorandum mempertahankan akidah umat Islam di hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini hari ini.

Perarakan bermula sebaik sahaja umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Simpang Enam, Jalan Macalister menuju ke KOMTAR dengan kawalan oleh pihak polis.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohd Jan dalam ucapannya menyifatkan himpunan terbabit sebagai respons terhadap ekstremis atau pelampau seperti Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang melontarkan kenyataan berbaur provokasi berhubung isu tiga kanak-kanak mualaf.

“Kalau kita tengok sejarah dunia permulaan hidup manusia, mereka sentiasa boleh hidup dalam keadaaan aman dan harmoni semua boleh hidup dalam bersatu padu, semua agama boleh hidup dalam keadaan bertolak ansur tetapi apabila sesuatu bangsa atau agama memiliki orang-orang yang ekstremis pelampau di dalam kelompok manusia maka kumpulan inilah yang akan merosakkan hubungan antara sesama bangsa antara sesama agama,” ujarnya.

Beliau berkata kerana golongan pelampau ini mengakibatkan keharmonian dan kesejahteraan negara yang selama ini dikecapi pada masa ini semakin mula dicabar.

Ustaz Fawwaz turut menyifatkan ketenteraman dalam negara ini seolah-olah hampir hilang disebabkan sikap ekstremis yang sengaja mencetuskan huru-hara, provokasi dan sanggup mengguris perasaan hati umat Islam biarpun isu-isu berkaitan agama bukan Islam tidak pernah disentuh umat Islam.

“Sebab itu pada hari ini kita bersama pada hari ini untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kita.

“Rasa kemarahan kita terhadap apa yang dilakukan oleh golongan pelampau ini dan sebagai satu peringatan sekiranya kita tidak melaksanakan usaha seumpama ini dan tidak diteruskan anda akan melihat muncul dua perkara, pertama golongan pelampau semakin berani kedua mereka akan semakin ramai,” katanya di hadapan sekumpulan peserta himpunan.

Himpunan diisi dengan ucapan beberapa wakil NGO Islam seperti Pekida dan aktivis masyarakat berlangsung selama sejam dan peserta himpunan bersurai selepas penyerahan memorandum solidariti umat Islam Pulau Pinang pertahankan akidah.

Memorandum diserahkan oleh wakil NGO Islam, Ahmad Yakqub Nazri kepada setiausaha sulit Timbalan Ketua Menteri II, Tabien Sahri di KOMTAR.

Dalam pada itu, PAS negri turut membuat laporan polis di seluruh Pulau Pinang terhadap kenyataan Ramasamy yang mengulas isu tiga kanak-kanak mualaf.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas, Bukhori Ghazali sejak pagi Jumaat wakil PAS di setiap daerah masing-masing telah membuat laporan polis.

“Meskipun Ramasamy telah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kenyataan provokasinya tetapi aduan ini sebagai mesej kepada pelampau sepertinya.

“Bukan kepada dia seorang sahaja tetapi kepada pelampau di luar sana, mereka mesti diingatkan jangan sentuh isu-isu yang menyentuh akidah ini.

“PAS melihat ini bukan isu politik tetapi isu akidah umat Islam. Kita harap akan datang ini semua orang politik tidak kira Umno, Amanah atau sesiapa sahaja turun sama-sama tunjukkan solidariti mempertahankan akidah umat Islam. Itu harapan kita,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, PAS Pulau Pinang memberi tempoh seminggu kepada semua wakil PAS di daerah masing-masing untuk membuat laporan polis.

“Setakat ini sejumlah 20 sehingga 30 laporan polis telah dibuat dan daripada kita sendiri di Pulau Pinang untuk hari ini sahaja lebih sepuluh laporan,” kata Bukhori. – HARAKAHDAILY 4/3/2022

- Advertisement -