Rakyat perlu lengkap diri ilmu pertahanan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

PADANG BESAR:
Krisis yang berlaku antara Rusia dan Ukraine sekarang wajar diambil perhatian dan iktibar rakyat di negara ini.

Raja Muda Perlis, Brigeder Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap rakyat perlu melengkapkan diri dengan ilmu pertahanan bagi menghadapai segala kemungkinan.

Ini kerana titah baginda kekuatan anggota tentera di sesebuah negara tidak akan pernah mencukupi untuk menjaga dan mempertahankan setiap inci tanah air.

- Advertisement -

“Antara perkara yang menarik jika dibuat perbandingan kekuatan ketenteraan negara yang berkonflik ialah membandingkan kekuatan angkatan tetap dengan pasukan simpanannya.

“Begitu juga jika dilihat kekuatan angkatan simpanan tentera Ukraine dan tentera Russia yang dimobilisasi dilihat tidak setara disebabkan jumlah populasi yang berbeza,” titah baginda pada sambutan Hari Tentera Darat ke-89 di sini semalam.

Justeru itu, baginda menyeru agar kekuatan angkatan tentera simpanan perlu diperkukuh dan diberi latihan serta disiplin secukupnya bagi menampung kekurangan anggota tetap.

“Sebagai contoh di Malaysia dengan wujudnya Rejimen Askar Wataniah di setiap negeri bagi melengkapkan rakyat dengan segala persiapan awal mengenai ilmu serta selok belok pertahanan.

“Ia juga dapat mengimbangi kekuatan anggota tentera tetap dan bersedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang,” titah baginda.

Hari Tentera Darat disambut pada setiap 1 Mac. Slogan tahun ini, Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda sebagai mewakili seluruh warga rejimen berkenaan turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun ke-89 kepada Rejimen Askar Melayu DiRaja dan Briged Ke Enam Infantri Malaysia ulangtahun ke-52, juga disambut pada tarikh sama.

Sementara itu, Timbalan Komander Rejimen Kem Bukit Keteri, Left Kolonel Mohamad Zaidi Ishak mengajak semua anak bangsa yang sayang negara menyertai Rejimen Askar Wataniah.

“Tujuan tentera tetap dan tentera simpanan tetap sama iaitu untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh baik dari dalam mahu pun luar.

“Anggota simpanan Rejimen Askar Wataniah, wajar berbangga dengan seragam yang disarung dengan terus mendalami ilmu ketenteraan di samping kekal aktif dalam pasukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -