Pusat jejaki Kelantan anjur sambutan Bulan Solat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peranan masjid dan surau perlu diperhebatkan termasuk sebagai lokasi perpaduan ummah bagi melahirkan kesejahteraan kehidupan masyarakat.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, melalui usaha itu dapat memperkasakan lagi program dakwah termasuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi.

Katanya, apa yang penting dapat memperkasakan budaya solat berjemaah khususnya Subuh yang perlu dijadikan program sepanjang tahun.

- Advertisement -

“Masyarakat yang memandang ringan ibadat solat akan membawa kepada kepincangan dalam kehidupan sehingga memberi kesan buruk kepada kesejahteraan masyarakat.

“Individu terbabit akan terjerumus ke lembah krisis kemaksiatan dan kemungkaran,” katanya pada perasmian Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri di Masjid Sultan Ismail Petra, hari ini.

Program Bulan Solat dianjurkan kerajaan negeri sejak lebih 20 tahun lepas dengan menyasarkan golongan remaja. Program tersebut dikendalikan Bahagian Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JaHEAIK).

Sempena program tersebut tazkirah Subuh disampaikan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan Dato’ Mohamad Shukri Mohamad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, wakil-wakil rakyat dan Pengarah JaHEAIK Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh.

Menteri Besar juga berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak bagi menyedarkan masyarakat terhadap tuntutan solat bagi pembentukan peribadi ummah.

“Alhamdulilah program sambutan Bulan Solat anjuran kerajaan Kelantan setiap bulan Rejab turut dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sekarang,” ujarnya. – UPKN

- Advertisement -