Oleh AIN MANAF
PASIR MAS: Keputusan sama ada mahu meletakkan calon yang terlibat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sebuah pusat peperiksaan khusus masih di peringkat perbincangan.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perbincangan diadakan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kesihatan bagi mewujud penempatan khusus.
Katanya, sebarang keputusan perlu diteliti berkenaan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan sekarang masih berdepan kes wabak Covid-19 yang mencatat angka tinggi.
“Kita adakan perbincangan bersama ketua jajahan untuk tidak menjadikan sekolah menengah yang terlibat dengan pelajar-pelajar SPM untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 164 mangsa banjir yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lati, di sini hari ini.
Kata beliau juga kerajaan negeri sentiasa memantau laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu.
“Kita juga merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menyelamat mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir,” katanya.
Peperiksaan SPM 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac ini dan berakhir 29 Mac membabitkan lebih 401,000 calon di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 28/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!