Saya akan istiqamah dengan PAS – Selvendran

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

JOHOR BAHRU:
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Johor, Selvendran Velu akan beristiqamah dengan parti itu sampai bila-bila.

Menurutnya, beliau terlibat dengan DHPP negeri melalui mendiang Kumutha Raman.

“Mendiang Kumutha yang memperkenalkan DHPP kepada saya. So dia yang banyak mengajar saya, so melalui mendiang Kumutha, saya banyak belajar.

- Advertisement -

“Lepas tu YB Senator Balasubramaniam banyak bantu saya dan beliau juga menjadi tunjuk ajar dalam perjalanan DHPP. So banyak belajar dari mendiang Kumutha dan Senator Bala,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di sini.

Beliau memberitahu, sebelum ini sememangnya tidak terlibat dalam mana-mana parti politik walaupun mengundi pada pilihan raya.

“Jadi, apabila jumpa dengan mendiang Kumutha, dialah yang banyak menceritakan kepada PAS,” katanya.

Menurutnya, beliau yang mempunyai restoran di Permas ada seorang kawan bernama Aril yang memperkenalkan kepada Kumutha.

“Dia datang kedai, so kita berbual la macam customer. Apabila dia cakap PAS sahaja, tanggapan saya, PAS ini fanatik. Islam, takut jadi Islam.

“Kemudian mendiang Kumutha cakap, tidak. Saya dalam PAS ini lebih daripada 10 tahun, dia cerita. Cuba bergaul, cuba tengok, kalau you berminat, you boleh continue, kalau tidak berminat tak apa,” ujarnya lagi.

Tambahnya, melalui mendiang Kumutha yang merupakan pelanggan restorannya, beliau mulai mengenali Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin dan lain-lain.

“Saya kenal dengan Ustaz Abdullah, dengan pimpinan PAS semua, sungguh mesra. Mereka layan dengan baik, walaupun (saya) non-Muslim.

“Sampai hari ini sekarang saya sudah empat tahun lebih, satu orang pimpinan tertinggi (PAS), tak pernah cakap pada saya tukar agama, convert. Tidak. Tidak pernah, empat tahun lebih, tidak pernah.

“Tetapi mereka cakap, selalu cakap pasal agama dan akhlak akhlak yang betul. Cara hidup yang betul. Berdisiplin, tolong menolong, selalu hormat menghormati. Itu yang saya selalu belajar daripada PAS,” katanya.

Kata Selvendran, apabila melihat pemimpin PAS lebih mesra menyebabkan beliau tertarik dengan PAS sehingga mendiang Kumutha memberikan jawatan Setiausaha DHPP Johor dan menerimanya.

“Apabila saya jadi setiausaha, Ustaz Abdullah semua sangat mesra dengan saya, pimpinan PAS Johor sangat mesra, banyak bantu saya.

“Yang dipertua PAS kawasan banyak bantu saya. So saya tertariklah dengan kemesraan mereka, macam sudah jadi satu keluarga. Saya tak rasa pimpinan tinggi, orang PAS ini macam orang asing, macam satu keluarga, memang saya selesa, sangat selesa,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, beliau yang mewakili Perikatan Nasional bertanding di DUN Paloh yang berhadapan dengan tiga calon lain.

Selvendran berhadapan dengan Sheikh Umar Bagharib Ali (PH-DAP), Lee Ting Han (BN-MCA) dan Aminuddin Johari (Pejuang).

Pada pilihan raya lalu, kerusi DUN itu dimenangi oleh Sheikh Umar dengan majoriti 783 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian PRN Johor manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 28/2/2022

- Advertisement -