Luaskan lagi usaha menyantuni anak-anak yatim

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak berharap agar kebajikan dan keprihatinan kepada anak-anak yatim serta anak golongan asnaf terus mendapat perhatian pelbagai pihak untuk disantuni.

Menurut beliau, segala usaha atau inisiatif membantu golongan tersebut dalam pelbagai sudut seperti pendidikan dan ekonomi terutamanya sewajarnya disokong dan diperluaskan lagi dalam masyarakat.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kawasan Maran, Mohd Fadzil Azmi Nadzri berucap menyampaikan pujian tersebut mewakili Ustaz Mujibur pada penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan anak asnaf, semalam.

Beliau menyampaikan kit sumbangan daripada ADUN Chenor itu berikutan Ustaz Mujibur berada dalam keadaan bergejala yang diwakilkannya pada majlis di Masjid Al-Furqan, FELDA Kampung Awah, Chenor, di sini.

Dalam majlis tersebut, seramai 32 penerima yang terdiri daripada 17 anak yatim dan 15 ketua keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap telah menerima sumbangan disampaikan berkenaan. 

Pengerusi Masjid Al-Furqan FELDA Kampung Awah, Abdul Rahim Ahmad dalam pada itu berkata, program sumbangan kepada golongan tersebut adalah menjadi aktiviti tradisi pengurusan masjid itu sejak dahulu. 

“Untuk mengumpul dana, masjid mempunyai dua tabung khas, iaitu tabung anak yatim dan juga tabung kebajikan, tabung ini pada kebiasaannya akan dibuka ketika menjelang Aidil Fitri dan juga pada awal sesi pembukaan sekolah.

“Di samping menerima sumbangan individu dari ahli kariah, dana tabung itu juga turut disumbangkan oleh anak tempatan yang berada di perantauan dan sumbangan sentiasa kami dibuka sepanjang tahun.

“Sumbangan hari ini ialah RM200 seorang kepada anak yatim dan RM100 untuk setiap keluarga berkenaan dan kami akan terus menjalankan aktiviti ini dimasa akan datang, sesuai dengan moto masjid ini “Masjid Berkebajikan” insya-Allah,” jelasnya. 

Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah, Pengurus FELDA Kampung Awah, Mohd Amin Tan dan Imam Satu Masjid Al -Furqan, Ustaz Roslan Jaafar. 

Pada tahun 2020 lalu, Masjid Al-Furqan FELDA Kampung Awah telah berjaya meraih naib johan dalam pertandingan Peringkat Kebangsaan Anugerah Masjid Contoh FELDA. – HARAKAHDAILY 27/2/2022

- Advertisement -