Pertembungan 7 penjuru persaingan sihat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr Karim Deraman menganggap pertembungan tujuh penjuru di DUN itu sebagai satu persaingan sihat.

Katanya, situasi itu melambangkan sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara ini yang tidak menghalang atau mengehadkan jumlah parti untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Itulah demokrasinya, kita tidak menghalang atau tidak mengehadkan mana-mana parti (untuk bertanding), pada saya, itu satu pertandingan yang sihat.

“Insya-Allah, kita akan lakukan aktiviti terancang untuk kita memenangi hati rakyat di Tiram,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas selesai menghadiri proses penamaan calon di Dewan Muafakat Johor Taman Desa Jaya, di sini, hari ini.

Ditanya, jika pertembungan tujuh penjuru itu mendebarkannya, kata Dr Karim, beliau tidak mempunyai sebarang masalah setakat ini.

Katanya, apa yang lebih penting adalah kesemua calon bertanding secara sihat. Beliau yakin setiap parti dan calon bertanding mahukan kemenangan, begitu juga pihaknya.

“Saya banyak terlibat dengan masyarakat semasa saya bekerja di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) dahulu, saya terlibat dengan masyarakat tempatan, saya juga terlibat dalam masyarakat UTM.

“Jadi, memang sudah biasa (bermasyarakat) pada saya, Alhamdulillah yang terbaru saya dilantik sebagai penyelaras khas DUN Pekan Nenas dan saya boleh dikatakan 80 peratus saya sudah pusing kawasan itu dan Insya-Allah saya akan bawa (sikap itu) ke DUN Tiram,” katanya.

Kerusi DUN Tiram menyaksikan pertembungan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perikatan Nasional menampilkan Dr Karim Deraman daripada PAS yang merupakan mantan pensyarah Fizik di UTM, Skudai.

Enam calon lain adalah S Gopalakrishnan daripada PKR; Azizul Bachok (BN), Datuk Abdul Aziz Harun (Pejuang), Azmi Ali (Parti Bangsa Malaysia (PBM), dan dua calon bebas, Bala Sundaram Perumal dan Jayasangkar AL Jeraman.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar yang mengambil bahagian dalam DUN Tiram adalah sebanyak 105,707 pengundi.

Pada PRU14, DUN Tiram dimenangi oleh calon PKR, S Gopalakrishnan dengan jumlah 26,573 undi, menewaskan Calon BN, Datuk Maulizan Bujang (18,475 undi) dan Calon PAS, Azman Atmim (5,366). – HARAKAHDAILY 26/02/2022

- Advertisement -