Tuan Guru ke Timur Tengah bawa agenda perpaduan ummah

- Advertisement -

PENGLIBATAN Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di peringkat antarabangsa tidak boleh dinafikan, malah sebenarnya tokoh ternama yang berpengaruh di dunia ini banyak menjadi rujukan dan orang tengah dalam mendamaikan konflik khasnya di negara Timur Tengah. Pemilihan beliau selaku Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah memberi impak yang besar dalam aspek hubungan Malaysia dengan negara-negara di Timur Tengah samada dalam hal ekonomi, politik, pendidikan mahupun hubungan diplomatik dan strategik. Berbicara lanjut mengenai Lawatan Rasmi beliau ke Qatar mewakili negara dengan restu PM, Ketua Pengarang Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB dan Penolong Pengarang Berita Negeri, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD menemubual tokoh ternama ini di Pejabatnya di Rusila, Marang pada Ahad 13 Februari lalu.

- Advertisement -

Harakah: Minggu lalu, Tan Sri Tuan Guru selaku Utusan Khas Perdana Menteri telah mengadakan lawatan rasmi ke negara Timur Tengah, khususnya di Qatar. Boleh Tuan Guru jelaskan sedikit perkembangan secara lanjut sepanjang lawatan di sana dan apakah intipatinya?

Tuan Guru Abdul Hadi: Pertama, tugas saya ke Timur Tengah yang meliputi negara Arab, (dan) sebahagian daripada negara bukan Arab seperti Turki, Azerbaijan, Iran. Dalam suasana pandemik Covid-19 yang berlaku, saya telah mengadakan pertemuan dengan sebahagian besar daripada Duta di Kuala Lumpur bagi menjalinkan hubungan antara Malaysia dengan negara tersebut.

Lawatan ke Qatar itu susulan daripada pertemuan itu dan diikuti oleh siri lawatan-lawatan lain. Keutamaan kita ialah hubungan antarabangsa. Malaysia dan negara lain keutamaan dalam hubungan dengan negara-negara Islam. Qatar dipilih dahulu kerana mudah, ‘direct flight’ (penerbangan) sahaja. Dasarnya tak jauh beza dengan Malaysia.

Lawatan Tuan Guru di Qatar itu apa yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia antara hubungan dua hala dengan negara berkenaan?

Pertama persamaan konsep politik antarabangsa antara Malaysia dengan Qatar, dalam menghadapi pertarungan antarabangsa dunia dan serantau. Qatar berpegang kepada prinsip ‘fleksibel’ keanjalan, sama dengan Malaysia kita tidak berpihak. Dengan sebab itu lebih mudah, Qatar kita utamakan dahulu. 

Seterusnya, Qatar ialah salah satu negara yang hadir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur sebelum ini, yang diadakan empat negara. Islam yang ditumpukan untuk membina satu kekuatan negara Islam. Dengan sebab itu, maka saya dahulukan Qatar dengan sebab yang tersebut pada awal tadi dengan perkara yang dinyatakan itu.

Mungkin ada hasil dari perbincangan dua hala untuk kepentingan negara (Malaysia) dan Qatar?

Sekurang-kurangnya mengeratkan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara. Khususnya, dalam kerjasama membantu umat Islam seperti Palestin, Rohingya yang terkini supaya kita bekerjasama dalam membantu, apatah lagi dalam menghadapi cabaran politik antarabangsa yang tidak memudahkan berusaha bagi membantu saudara-saudara kita. Di mana, Qatar mempunyai kemampuan sendiri yang kita tahu dan Malaysia ada tenaga manusia, kita ada kemampuan kita. Dengan gabungan itu, kita dapat memanfaatkan untuk khidmat membantu saudara seagama yang memerlukan bantuan, disamping menggalakkan pelaburan antara dua negara.

Sejauh mana Tuan Guru melihat peranan yang dapat dimainkan oleh negara-negara Timur Tengah ketika ini. Khususnya, Qatar itu sendiri dalam isu negara umat Islam seperti isu di Syria, Iraq, Yaman, Afghanistan. Sebab mutakhir ini masih lagi kita tidak nampak seakan adanya kesatuan yang mahu dilihat oleh rakyat di negara Islam seluruh dunia sekalipun terhadap kesatuan negara Arab itu sendiri seperti pertelingkahan, perbalahan di Timur Tengah dan beberapa negara yang disebutkan tadi ?

Kita mengalami perpecahan umat Islam yang sangat ketara dan bukan sahaja berpisah dari segi ideologi yang ditinggalkan oleh penjajah. Apa yang menyedihkan ialah berlakunya perang proksi, perang saudara dalam negara kita sendiri. Sikap yang ‘agresif’ sesama kita sendiri. Dalam hal ini, Qatar agak sederhana daripada negara-negara lain, dengan sebab itu Qatar boleh menjadi pendamai dan Malaysia juga boleh menjadi pendamai bersama Qatar, dalam krisis yang berlaku di Syria, Yaman dan lain-lain.

Saya ada berbincang dengan Qatar, khususnya dengan Kementerian Luar. Apatah lagi saya mendapat mandat daripada Perdana Menteri (Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Luar (Dato’ Sri Saifuddin Abdullah) sebelum ke Qatar itu, supaya mengemukakan peranan Malaysia bersama Qatar, bagi menghadapi isu-isu yang tersebut.

Ada disebutkan sebelum ini oleh pelbagai lapisan organisasi dan individu sendiri tentang peranan OIC. Adakah ketika ini OIC berperanan dalam menangani isu-isu kemelut umat Islam atau sudah hilang ‘taringnya’?

OIC ditubuhkan dalam tahun 60-an akibat dari peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Mencetuskan semangat umat Islam. Pada awalnya untuk membina satu kekuatan ummah. Tetapi, malangnya kebanyakkan negara umat Islam dipengaruhi politik-politik kuasa besar. Menyebabkan OIC sendiri tidak berfungsi dengan sepenuhnya. Dengan sebab itu, Almarhum Erbakan telah membuat gabungan lapan negara Islam, dengan jumlah yang kecil untuk membina satu kekuatan. Malangnya, semua lapan kerusi itu digulingkan. Ini permainan dan percaturan politik antarabangsa.

Akhirnya, Tun Dr Mahathir memainkan peranan mengumpulkan empat negara, yang hadir di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur iaitu Malaysia, Qatar, Tukri dan Iran. Dan empat negara ini sebagai satu tunas ke arah untuk mengajak negara umat Islam yang lain.

Dalam lawatan kerja Tuan Guru itu, dilihat ada pertemuan dengan rakan Menteri daripada Afghanistan. Boleh Tuan Guru cerita sedikit perkembangan di Afghanistan itu?

Kawan-kawan di luar negara melihat saya ada peranan tentang isu-isu yang berlaku di negara ini (Afghanistan). Dengan sebab itu, Duta Qatar, Duta Iran disokong Duta Turki dan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia minta supaya saya terlibat dalam menangani isu Afghanistan. Mereka sanggup mengatur perjumpaan dengan wakil Afghanistan, dan saya memaklumkan kepada Menteri Luar dan mereka bersetuju supaya saya memainkan peranan ini. Alhamdulillah, saya pergi ke Qatar, diatur perjumpaan khusus dengan Wakil Tetap Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ada perbincangan dalam perjumpaan itu, untuk memudahkan saluran untuk kita bantu Afghanistan, yang baharu lepas daripada peperangan. 

Dunia barat seolah-olah masih tidak mengiktiraf kepimpinan kerajaan Afghanistan. Bagaimana dengan pendirian Malaysia dalam isu ini?

Malaysia tidak boleh satu negeri sahaja. Dalam perjumpaan saya dengan Perdana Menteri Qatar (Yang Mulia Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al Thani) dan Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar (PYT Lolwah binti Rashid Al-Khater). Saya mengatakan pandangan saya perlu pendirian secara kolektif, secara berkelompok negara umat Islam dalam menangani isu Afghanistan. Ini kerana, mereka dibebani oleh salah faham musuh-musuh Islam terhadap Islam.

Islamofobia yang masih menghantui pemikiran dunia barat, musuh Islam dan dendam kekalahan kerana Afghanistan pernah mengalahkan kuasa-kuasa besar dan dalam sejarahnya pernah mengalahkan British, mengalah Soviet Union, mengalahkan Amerika, yang terakhir. Dengan kemiskinan mereka (Afghanistan) tapi keimanan dan semangat yang tinggi. Ini memalukan kuasa besar. Sebab itulah, mereka tidak mudah dengan Afghanistan ini. Sebab itu, dalam usaha kita menangani Afghanistan ini kita menyahut cabaran ini.

Apa yang penting ialah kita menggalakkan perdamaian dan keamanan. Di mana berhentinya perang di Afghanistan, saya rasa berdamai ini, yang perlu dipulihkan. Di sana, ada sebab-sebab kemanusiaan yang mewajibkan seluruh dunia terlibat. Apa lagi kita dapati NGO-NGO Hak Asasi Manusia dan banyak pertubuhan-pertubuhan antarabangsa hak asasi manusia mendukung bantuan kemanusiaan terhadap Afghanistan. Ruang ini kita ambil, dengan sebab itu sepatutnya negara Islam lebih kedepan daripada NGO-NGO yang bukan negara Islam ini. Saya rasa politik dengan negara ini akan berubah. Jika kita berdiri dengan kesatuan, secara perpaduan, umat Islam akan ada kekuatan sendiri.

Kerajaan Afghanistan juga dilabel kerajaan Taliban yang ‘Ekstremis’. Jadi yang menyebabkan seolah-olah mereka tidak dapat terima kerajaan Afghanistan.

Pertama, kita kena tahu perkataan ‘Taliban’. Taliban ini bahasa Pashtun dengan makna pelajar-pelajar agama secara tradisi, pelajar pondok, yang disebut pelajar agama ‘Deobandi’ yang belajar mazhab Hanafi. Pada awalnya mereka terlibat dengan perang ketika menentang tentera Soviet Union. Apabila kumpulan Mujahideen lemah mengisi kemenangan. Menyebabkan mereka bangkit menentang kumpulan Mujahideen dan kuasa barat sendiri mengambil kesempatan dengan membantu Taliban untuk menghalau Mujahideen. Apabila Taliban berkuasa, mereka sekadar pelajar-pelajar dan sudah tentulah cara mereka agresif. Apatah lagi kefahaman mereka tentang mazhab Hanafi sahaja. Dalam politik ini tidak boleh satu mazhab sahaja.

Di masa mutakhir ini, kita dapati kepimpinan Taliban sudah berubah, daripada kepimpinan ulama’ yang agak tua. Mereka mengambil alih daripada kepimpinan yang sudah tua. Kita melihat, mereka membuat kenyataan-kenyataan yang agak baik dan sederhana. Contohnya, mereka mengampun beramai-ramai terhadap rakyat mereka yang terlibat dengan kedatangan musuh di Afghanistan. Mereka mengambil sikap yang terbuka dengan dunia luar dan mereka berusaha untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa. Ini memerlukan masa kerana kepercayaan perlu dilakukan kepada negara-negara yang bukan Islam itu.

Jika mereka boleh iktiraf negara komunis, boleh iktiraf Israel, mengapa tidak iktiraf Taliban yang sepatutnya. Israel yang haram, merompak tanah air orang Palestin boleh diiktiraf. Maka, Taliban tanah air dia sendiri, yang dia boleh memerdekakannya daripada musuh itu lebih utama.

Negara Islam perlu digerakkan. Saya memberi pandangan kepada rakan-rakan Taliban dalam sesi dialog bersama mereka dan berbincang dengan Kementerian Luar Qatar, dengan Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia. Kita bersetuju untuk menganjurkan Muktamar, Persidangan Khas tentang Afghanistan. Bermula dengan Muktamar Ulama’, Muktamar Alimat, Muktamar Ilmuan dan muktamar lain-lain.

Ada kritikan-kritikan yang agak sinis dalam kalangan Ahli Parlimen, ahli politik di Malaysia terhadap lawatan Tuan Guru. Kebetulan berjumpa dengan Taliban, walau pun mereka tidak tahu tentang inti pati sesi dialog tersebut. Boleh Tuan Guru jawab sikit kritikan-kritikan nakal mereka ini?

Saya telah maklum awal tadi, di mana lawatan dilakukan selepas mendapat keizinan YAB Perdana Menteri. Kemudian berbincang dengan Kementerian Luar. Kemudian didukungi oleh Pejabat Kedutaan Malaysia di Doha dan Kedutaan Qatar di Kuala Lumpur yang saya sebutkan tadi. Saya pergi bersifat diplomatik, mendapat dukungan daripada Wisma Putra dan menjadi tetamu kerajaan Qatar, dan tidak ada apa-apa bantahan daripada mana-mana pihak. Kecuali itu kenyataan-kenyataan terpencil, mereka yang tidak tahu.

Konflik antara negara Arab Saudi dengan Yaman juga seperti tiada kesudahannya. Apakah pendapat dan cadangan Tuan Guru bagi meredakan situasi antara kedua buah negara itu?

Pertama, kita perlu memahami kedudukan negara Yaman dalam peta, Asia Barat. Kedudukan yang sangat strategik di muka pintu Laut Merah. Tempat laluan sumber tenaga ke Eropah, tempat laluan kepada Israel sendiri, yang mempertahankan diri dia, dengan sebab itu Yaman menjadi tempat yang diperhatikan oleh semua.

Kebetulannya, saya terlibat dalam mendamaikan Yaman ini sebelum berlakunya Arab Spring. Bila berlaku ketegangan di Yaman, Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia minta saya mewakili Kesatuan pergi ke Yaman dan diberikan kemudahan oleh Wisma Putra ketika itu. Kedutaan Malaysia, Kementerian Luar masa itu bantu dan saya berjumpa dengan Presiden Yaman. Jumpa dengan Ulama’ dan jumpa dengan pemimpin parti di Yaman, supaya jangan ‘ekstrem’ dalam perselisihan dan perbalahan. Ini mengundang kuasa asing campur tangan. Masa itu lawatan itu sangat positif, dan hampir-hampir perdamaian dapat diwujudkan. Tetapi, malangnya bila berlaku Arab Spring, di mana negara-negara besar menganggap Yaman akan dikuasai oleh mereka yang menghalang kepentingan-kepentingan mereka. Lalu, berlaku campur tangan dan perang proksi di Yaman yang susah hendak selesaikan.

Pada pandangan saya, nak selesaikan masalah mestilah antara Yaman dengan Arab Saudi sendiri, tak perlulah campur tangan asing. Jika ada campur tangan asing tak selesai masalah. Dengan sebab itu, peranan negara-negara berkecuali dalam menamatkan krisis itu sangat penting.

Jadi, krisis yang berlaku Yaman-Saudi itu adakah ada kaitan dengan Syiah atau sebagainya?

Tak ada kaitan dengan mazhab, kerana di Yaman itu mengandungi Mazhab Syiah Zaidiyyah dan Mazhab Sunni Shafie. Kefahaman mereka sangat hampir antara satu sama lain. Bahkan, kehidupan rakyat sangat harmoni di Yaman sebelum berlakunya krisis ini. Bersembahyang sama-sama masjid, (orang) Sunni sembahyang di masjid Syiah, orang Syiah sembahyang di masjid Sunni dan kahwin antara satu sama lain, itu berlaku. Cuma sedikit masalah yang berlaku ialah di kawasan Houti.

Saya didedahkan oleh orang Yaman sendiri puncanya ialah kerana kemiskinan. Kawasan itu terbengkalai, ditinggalkan, tak dibangun dan tak ada kemudahan-kemudahan asas. Menyebabkan rakyat memberontak kerana sebab-sebab kemiskinan bukan sebab mazhab. Sebab mazhab ini diada-adakan kemudian.

Keberadaan dan ketokohan Tuan Guru dalam dunia gerakan Islam ini sebenarnya tidak boleh dinafikan. Apakah kesan atau impak dari lawatan Tuan Guru dalam membawa agenda Penyatuan Ummah?

Antara perkara-perkara yang saya sebut kepada rakan-rakan di Qatar. Kalau negara-negara EU, negara Eropah boleh membuat kesatuan mereka sendiri, tanpa ada sumber-sumber hasil bumi. Tetapi t enaga manusia kita lebih besar. Mengapa kita negara umat Islam, Tuhan kurniakan sumber-sumber bumi yang kaya raya. Sumber manusia yang banyak, kepakarannya ada berselerak seluruh dunia. Mengapa kita tidak boleh membina kekuatan kita sendiri. Negara Kesatuan Umat, masalahnya kita berpecah. Ini perlu diselesaikan perpecahan ini. Tak ada sebab untuk kita menyerah kalah dalam menghadapi cabaran dunia antarabangsa. Dunia Islam mempunyai kekuatan sendiri seperti tenaga manusia, sumber dan kedudukan negeri Islam dalam peta dunia yang paling strategik. Bermula dari Asia Tenggara sehingga ke Utara Afrika, semua laluan. Jadi, orang Islam tak jadi masalah sepatutnya.

Negara Eropah tak ada hasil tapi mereka boleh hidup, boleh maju. China bangkit menjadikan suatu kuasa besar dengan jumlah penduduk dia lebih 1 bilion, dengan sumber tenaga dia sendiri dan rakyat. Dengan sebab itu, saya sebut alangkah baiknya jika negara Arab bergabung dengan Asia Tenggara dan jumlah orang Islam 300 juta lebih, cukup menjadi suatu kekuatan dari segi politik, ekonomi dan lain-lain. Malangnya, banyak negara-negara Arab ini memandang ke arah Barat, ke arah Eropah supaya pandang ke arah Asia Tenggara, kepada saudara (Islam) kita sendiri.

Kita sudah ada satu agenda, satu model Penyatuan Ummah di negara kita sendiri yang masih dalam proses untuk penyatuannya. Apakah mungkin model-model ini akan diaplikasikan atau boleh dibawa ke peringkat negara Islam. Kita tahu tokoh Penyatuan Ummah di Malaysia ini disebut Tuan Guru sendiri sebagai tokoh oleh rakyat itu sendiri, yang mengiktiraf.

Saya sebut bahawa kita mesti bersatu dalam titik persamaan. Di sana, ada titik persamaan yang tak ada khilaf, tak ada beza pandangan. Ini kita satu dan kuatkan. Adapun dalam perkara berbeza pendapat, kita perlu bertasamuh, bertolak ansur. Jangan menimbulkan ketegangan. Kalau kita timbul ketegangan ini akan menjadi peluang untuk mereka yang menjadi ‘batu api’, melagakan sama kita sendiri sehingga mencetuskan perang proksi. Apa yang berlaku di negara Arab, di mana kekayaan-kekayaan untuk membeli senjata-senjata. Musuh bagi senjata, kita beli senjata dan dia bunuh sama sendiri. Ini satu kebodohan yang besar.

Setakat hari ini, adakah negara-negara lain termasuk di Timur Tengah ini untuk dijadikan model bagi Penyatuan Ummah?

Yang paling tenang ialah Algeria. Algeria ialah negeri yang paling tidak ada masalah. Kemudian, Lubnan yang masyarakatnya terdiri dari Sunni, Syiah dan Kristian pelbagai mazhab. Dia lebih baik dari negeri lain. Sikap dia konsisten dalam menghadapi isu di Asia barat. Walaupun banyak ‘pengacau’ dia, antaranya (negara) Oman. Kita lihat agak tenang dan baik, itu sebagai contohlah.

Apakah lawatan kerja Tuan Guru ke negara Timur Tengah itu membuka peluang terutama dalam bidang Pendidikan Islam atau bidang Ekonomi?

Antara ditimbulkan ialah bidang Pendidikan dan Ekonomi. Di mana, lawatan saya asasnya kecil sahaja. Untuk jumpa dengan (wakil) Afghanistan tetapi dibanyakkan program diatur berjumpa dengan Yang Mulia Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al Thani, Perdana Menteri Qatar; Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Hamad bin Qassim Al-Abdullah Al-Thani, Menteri Perdagangan dan Industri Qatar; PYT Lolwah binti Rashid Al-Khater, Penolong Menteri Luar dan Jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar; Encik Khalifa Bin Jassem Al-Kuwari, Ketua Pengarah, Qatar Fund for Development (QFFD); Encik Yousef bin Ahmed Al-Kuwari, Ketua Pegawai Eksekutif, Qatar Charity (QC); dan Sheikh Dr. Ahmed Raissouni, Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS). Diatur program yang banyak. Ini sudah tentulah apa yang boleh saya buat, bidang yang ada pada saya ialah memberikan pandangan-pandangan, ada pun ‘follow up’ ialah kementerian-kementerian.

Alhamdulillah, Qatar membuka peluang pelaburan kepada Malaysia bila-bila masa sahaja. Cuma terpulanglah kepada kementerian-kementerian. Ini untuk buat pelaburan, sama ada lapangan Pendidikan, Kesihatan termasuklah Pertanian. Satu yang menarik ialah, Qatar negeri padang pasir, dapat perlindungan sumber makanan yang cukup. Qatar, dia banyak modal dan kita ada tanah luas. Jadi banyaklah yang boleh kita ambil manfaat dari kerjasama ini.

Kunjungan Tuan Guru kepada Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia sangat dialu-alukan. Apakah ada mesej yang Tuan Guru sampaikan kepada mereka?

Mesej yang ingin saya sampaikan ialah Ulama’ adalah kumpulan yang berpengaruh dalam masyarakat. Sehingga hari ini, Ulama’ tetap dihormati. Masyarakat hormat mereka dan peranan mereka sangat besar, mereka tidak boleh terlibat dalam urusan ibadat sahaja. Mereka kena terlibat dalam urusan politik dan urusan menyatukan ummah. Ini sangat penting, dengan sebab itu cadangan muktamar dengan Afghanistan itu, saya bincang dengan Kementerian Luar Qatar supaya diberi peranan kepada Kesatuan Ulama’.

Natijah dari lawatan kerja Tuan Guru ke Timur Tengah itu, apakah mesej terpenting yang ingin Tuan Guru bawa kepada rakyat Malaysia dan dunia amnya?

Apa yang menarik selemah-lemah Malaysia, kita bukan negara besar, bukan negara kuat sangat. Tetapi, Malaysia tetap dihormati khususnya negara-negara umat Islam. Ini dapat disaksikan sendiri kerana walau pun kita berkrisis dalaman, kita berselisih pendapat tapi tidak mencetuskan peperangan. Tidak mencetuskan perkelahian yang tajam antara satu sama lain. Oleh sebab itu, peliharalah keadaan ini. Kita menghadapi masyarakat majmuk dari pelbagai kaum, agama dan adat. Tetapi, kita berjaya kumpulkan masyarakat majmuk ini dengan pendekatan kita sendiri.

Penyelesaian yang paling berjaya ialah penyelesaian Islam, yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Apabila baginda menubuhkan negara Islam di Madinah, mereka menyatukan orang Islam Muhajirin dengan Ansar. Kemudian, mengajak bukan Islam yang tidak ekstrem supaya bersama dengan masyarakat Islam. Dalam negara yang berdaulat, Islam yang memerintah, adil untuk semua.

Negara (Islam) ini berkembang sehingga wilayahnya dari Asia Tenggara hingga ke Afrika Barat, daripada Sepanyol hingga ke Afrika Tengah. Itu wilayah Islam di zaman kegemilangan Islam. Masyarakat yang paling majmuk, yang ramai, jarak jauh yang terlalu jauh, tidak ada kemudahan-kemudahan transport masa itu. Orang Islam boleh mentadbir selama 1,300 tahun dan tidak ada kuasa besar dunia yang boleh memerintah selama itu.

Kita lihat Jerman, Jepun, British berapa tahun sangat, Rom dan Parsi berapa tahun sahaja. Tetapi, Islam 1,300 tahun menguasai dunia dan membina satu Tamadun Islam yang berasaskan kepada petunjuk agama (Islam), akhlak, moral yang mulia. Bukan sahaja dalam bidang ilmu yang boleh mentadbir, mengurus manusia segala bidang termasuk ilmu sains dan teknologi, ilmu ekonomi, ilmu politik. Bahkan, kajian-kajian Ulama’ Islam ini diambil oleh pengkaji-pengkaji barat. Tamadun barat yang ada hari ini adalah ciplak daripada Tamadun Islam. Cuma mereka tidak mengambil agamanya. Agama dibuang dan moralnya tidak ada dan akhirnya tamadun itu membakar diri sendiri. Dengan sebab itu, kita orang Islam kena balik kepada hebat dan kekuatan kita sendiri.

Kita sering melihat konflik di negara Asia Barat khususnya di negara-negara bergolak, adalah hasil campur tangan negara barat. Iaitu ada kuasa-kuasa besar yang cuba campur tangan, cuba masuk ke negara tersebut dan mencetuskan konflik di sana. Kalau kita tengok di negara kita sendiri pun ada cetusan-cetusan idea dan gerakan ke arah itu. Mungkin ada nasihat atau pandangan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada mereka yang cuba untuk membawa campur tangan dalam konflik-konflik yang berlaku di Malaysia?

Sekiranya, kita baca Quran dalam Surah Muhammad ayat yang paling akhir dengan maksudnya, ‘Jika sekiranya kamu (orang Arab) berpaling daripada Islam. Tuhan akan tukar kaum yang lain, yang tidak seperti kamu. Kaum lain yang menerima Islam’. Orang Arab yang tinggal Islam muncul kaum Kurdish. Bila Kurdish lemah muncul pula kaum Turki yang mengamalkan Islam. Kita orang Islam, di mana bumi berpijak di situ kita anggap tempat kita tegakkan Islam. Bukan mesti Arab.

Nabi sebut di akhir zaman, orang Islam yang akan memperkasakan mereka dan membebaskan Palestin. Di mana kita berpijak, di situ kita usahakan Islam untuk ditegak.

Selama mana masa Tuan Guru dilantik sebagai Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, dalam dua Perdana Menteri iaitu ketika Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Seri Ismail Sabri. Tuan Guru selalu dikecam kononnya tidak berperanan dan hari ini terbukti, Tuan Guru ada peranan yang sangat besar. Bagaimana untuk kita jelaskan kepada rakyat tentang hal ini?

Pertama, kita jangan peduli apa orang kata. Kita buat apa yang kita kena buat, kita laksanakan. Kalau kita laksanakan itu perkara yang baik, yang ada berkat.

Allah Ta’ala akan kembangkan lagi dan kita tidak memasyhurkan diri kita. Tak ada media yang membantu kita tetapi Allah Ta’ala sampaikan mesej kita kepada rakan-rakan yang satu hati dengan kita di seluruh dunia. Di mana, hati orang Islam ini laksana satu jasad, tak boleh berpisah.

Walaupun tidak ada alat-alat yang canggih berhubung antara satu sama lain.

Kita menyaksikan ini sehingga Alhamdulillah, diundang sampai ke negeri Afrika, negeri Asia termasuk di kalangan orang Islam di Eropah dan di Amerika. Menghadiri majlis-majlis ini dalam suasana kita mendapat sambutan daripada fikrah, pandangan yang kita berikan kepada rakan-rakan kita yang berasaskan Islam yang sebenar.

Islam yang sebenarnya tidak boleh ditipu, tidak boleh diputar belit kerana Allah Ta’ala perlihara ilmu Islam ini dalam sumber yang teguh. Kitab mukjizat Al-Quran, kebijaksanaan Nabi kita (Muhammad) SAW, itu tidak boleh diselewengkan sekali-kali.

Jika kita berjalan di atas asas itu, kita mendapat pertolongan Allah SWT, mendapat dukungan Dia dan simpati daripada umat Islam yang sehati dan sejiwa dengan kita. – HARAKAHDAILY 17/2/2022

- Advertisement -