24,000 kanak-kanak sudah terima vaksin Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun (PICK KIDS) mencapai sebanyak tujuh peratus iaitu lebih 24,000 menerima suntikan vaksin.

Melaka antara negeri mendahului dengan 16.1 peratus, diikuti Sarawak sebanyak 13.99 peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sehingga semalam lebih 24,000 suntikan vaksin Covid-19 diberi kepada kanak-kanak di seluruh negara.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, Kelantan masih berada pada peratusan yang rendah berbanding jumlah keseluruhan kanak-kanak yang layak menerima vaksin.

“Pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak perlu memandangkan mereka turut terdedah penularan Covid-19.

“Data menunjukkan ada komplikasi yang serius boleh berlaku tetapi sangat jarang berlaku. Komplikasi itu termasuk keradangan pada pelbagai organ sehingga boleh menyebabkan berlaku kes yang teruk dan kematian.

“Tujuan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak untuk mengelak jangkitan Covid-19 yang teruk serta mengelak komplikasi selepas berlaku jangkitan iaitu Multieystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin PICK Kanak-Kanak di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Menurutnya juga lebih 2,000 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) sekolah dan hospital seluruh Kelantan dengan peratus liputan 1.18 peratus.

“Peratusan itu dianggap rendah, namun saya yakin memandangkan ia masih di peringkat permulaan, kita beri masa kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk bertindak pantas untuk melindungi kanak-kanak,” katanya.

Kata beliau juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggerakkan unit komunikasi strategi bagi memberi penerangan berkaitan fakta dan data melalui media sosial. – HARAKAHDAILY 16/2/2022

- Advertisement -