Allah sebaik-baik pemelihara

- Advertisement -

فَٱللَّهُ خَیۡرٌ حَـٰفِظࣰاۖ وَهُوَ أَرۡحَمُ ٱلرَّا⁠حِمِینَ

- Advertisement -

Sebab turun ayat

Menceritakan perihal kisah Nabi Yaaqub A.S, ketika fasa Mesir diuji dengan musim kemarau dan kebuluran. Nabi Yusuf telah pun menjadi Menteri yang bertanggungjawab mengurus perbendaharaan negara untuk mengharungi fasa kepayahan tersebut.

Untuk mendapatkan bekalan makanan yang lebih banyak, mereka diminta oleh Nabi Yusuf (yang menggantikan Menteri Aziz) untuk membawa adik bongsu mereka datang bersama. Setiap seorang yang datang akan diberi makanan yang boleh dibawa oleh seekor unta (jumlah yang sangat banyak).

Apabila hasrat tersebut dinyatakan kepada bapa mereka, lantas dijawab oleh Nabi Yaaqub A.S bapa mereka berkata: 

“(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dialah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan.”

Bagi yang berhajat untuk memahami ayat ini, boleh membelek keseluruhan chapter yang bermula dari ayat 58 – 67.

Belajar dari sejarah

Di antara perkara yang sukar untuk dibuktikan melalui ujian saintifik adalah ‘kepercayaan’. Manusia apabila mempercayai seseorang, akan sukar untuk digugat. Dan tidak akan sesekali boleh kita memaksa untuk orang mempercayai kita. Bahkan, ada orang yang telah ditipu berulang kali tetapi masih ‘reserve’ dek kerana kepercayaan yang menebal. 

Tetapi tidak bagi Nabi Yaaqub A.S. Baginda mendidik kita supaya menjadikan kisah sejarah sebagai bekalan yang penting untuk tidak terjerat buat sekian kalinya. Ia bukan sekadar faktor emosi, kerana kita dahulunya ditipu lalu cenderung membalas dendam, sebaliknya menjadi penilaian utama untuk situasi mendatang.

‘Kalaulah nak harapkan kalian jaga adik kalian, bagaimana dahulu kalian juga berjanji nak jaga Yusuf, lebih baik aku serahkan dia dalam jagaan Allah’, begitulah mafhum ucapan Nabi Yaaqub yang telah luka hatinya dek perbuatan khianat anak-anaknya.

Hanya menjaga kepentingan sendiri

Apa yang membuatkan mereka bertegas mahu membawa adiknya bersama adalah semata-mata kerana janji bekalan makanan yang akan diberikan! 

Kalimah wanumiru ahlana menjelaskan akan fokus mereka hanyalah untuk dapatkan stok makanan sebanyak-banyaknya demi ahli keluarga masing-masing. 

Tidak ada sebab untuk mereka korbankan adik bongsu mereka sebagaimana Yusuf dahulu. Bahkan pada kali ini, mesti dibawa hidup-hidup supaya keperluan mereka dipenuhi. 

Nabi Yaaqub akhirnya bersetuju membenarkan anak bongsunya dibawa bersama setelah diikat dengan sumpah dan janji yang kuat untuk tidak berbuat khianat lagi.

Pengajaran dan kesimpulan

Meletakkan diri kita dalam pemeliharaan Allah merupakan suatu tuntutan agama. Hanya Allah sahaja yang berhak memberi manfaat dan mendatangkan mudarat. Bagaimanapun ianya bukan bermaksud kita tidak boleh meminta tolong dan berharap kepada orang lain. 

Al-Quran mengajar untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada janji manusia kecuali dengan batas dan syarat yang jelas, khuatir kita kecewa. Berpeganglah dengan janji Allah, nescaya Allah tidak sekali-kali akan mungkir janji.

Kalaulah dikira dengan emosi, ternyata Nabi Yusuflah yang paling layak menaruh dendam, bahkan memiliki kuasa untuk membalas dengan teruk. Ternyata sikap sedemikian bukan dari ajaran Islam.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 14/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10227201749049218/

- Advertisement -