Beban sisa elektronik kepada alam sekitar

- Advertisement -

SISA elektronik atau e-sisa terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi, lama atau usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa yang tidak digunakan lagi atau dibuang. 

Peningkatan e-sisa ini didorong oleh kadar penggunaan peralatan elektrik dan elektronik yang tinggi, kitaran hayat yang singkat serta pilihan pembaikan peralatan yang terhad dan dijana terutamanya daripada sektor industri dan isi rumah.

Menurut The Global E-waste Monitor 2020, pada 2019, 53.6 Mt (tan metrik) e-sisa dijana di seluruh dunia iaitu purata 7.3 kg per kapita. Penjanaan e-sisa global meningkat sebanyak 9.2 Mt sejak 2014 dan diunjurkan meningkat kepada 74.7 Mt menjelang 2030 iaitu hampir dua kali ganda dalam masa 16 tahun. 

- Advertisement -

Benua Asia menjana kuantiti e-sisa tertinggi iaitu 24.9 Mt, diikuti oleh Amerika (13.1 Mt) dan Eropah (12 Mt), manakala Afrika dan Oceania masing-masing menjana 2.9 Mt dan 0.7 Mt. Eropah menduduki tempat pertama di seluruh dunia dari segi penjanaan e-sisa per kapita, dengan 16.2 kg per kapita. Oceania berada di tempat kedua (16.1 kg per kapita), diikuti oleh Amerika (13.3 kg per kapita), manakala Asia dan Afrika masing-masing menjana hanya 5.6 dan 2.5 kg per kapita. Bagi Malaysia pula, dianggarkan 364 kilotan (kt) e-sisa dihasilkan pada 2019 atau purata 11.1 kg per kapita.

Sisa elektronik sangat berbahaya kepada alam sekitar dan juga kesihatan manusia. Ia bersifat toksik kerana mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya seperti merkuri, plumbum, berillium, kadmium, arsenik dan sebagainya. Apabila sisa elektronik ini tidak diuruskan dengan baik, bahan-bahan toksik itu boleh menyerap masuk ke dalam tanah dan sumber air. 

Manakala apabila e-sisa dibakar (pembakaran terbuka), bahan toksik tersebut boleh dilepaskan ke udara. Bahan-bahan ini pula boleh menjejaskan kesihatan manusia misalnya membawa kepada penyakit kanser, keguguran kepada wanita mengandung, kerosakan neurologikal, kecacatan janin dan sebagainya.

Oleh itu, masalah peningkatan sisa elektronik perlu diberi perhatian dan usaha-usaha untuk mengurangkannya perlu dilaksanakan melalui teknologi, kegiatan kitar semula dan perubahan sikap pengguna, misalnya pengguna digalakkan membaiki alatan elektronik yang rosak berbanding menukar baharu. 

Peranan pengguna sangat penting dalam usaha ini apatah lagi pengguna Muslim yang dituntut untuk bersederhana dalam banyak perkara (Surah al-A’raf, 7:31), bertanggungjawab untuk menjaga alam kerana kita adalah Khalifah Allah S.W.T (Surah al-Baqarah, 2:30) serta dilarang melakukan kerosakan kepada alam ini (Surah al-Rum, 30:41).

Disediakan oleh:

AZRINA SOBIAN
Felow
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) – HARAKAHDAILY 14/2/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/230257855797290/posts/318529680303440