Lelaki Islam langgar penyerang tikam wanita atas ‘kewajiban’

Yasmin Chkaifi meninggal dunia selepas kejadian ditikam bekas teman lelakinya, Leon McCaskie di Chippenham Road, Maida Vale, London pada 24 Januari 2022.
- Advertisement -

LONDON: Seorang lelaki Islam yang dibebaskan tanpa sebarang dakwaan selepas melanggar seorang lelaki lain yang menyerang dan menikam seorang wanita berkata, dia melakukan tindakan tersebut adalah kerana ‘kewajiban ajaran agamanya untuk bertindak’ sedemikian.

Pemuda keturunan Chechen berusia 26 tahun, dikenali sebagai Abraham yang bekerja sebagai juruelektrik dalam perjalanan memandu ke tempat kerja di Chippenham Road, dalam kawasan kejiranan Maida Vale di sini pada 24 Januari lalu, apabila dia ternampak seorang lelaki sedang menikam seorang wanita.

- Advertisement -

Abraham lalu bertindak melanggar lelaki berkenaan dikenali sebagai Leon McCaskie,41, yang ketika itu sedang menyerang bekas teman wanitanya, Yasmin Chkaifi, 43, namun kedua-dua McCaskie dan Chkaifi meninggal dunia selepas kejadian itu.

Abraham memberitahu dailymail.co.uk: “Sekiranya anda melihat sesuatu kejahatan, adalah menjadi kewajipan anda untuk menghentikannya dengan tangan (usaha) anda. 

“Jika anda tidak boleh melakukannya dengan usaha anda, maka anda harus menghentikannya dengan bersuara. Jadi saya berfikir: ‘Bagaimana saya boleh menghadap Tuhan jika saya tidak membantu (Chkaifi)? Ini adalah kewajiban saya, agama saya (Islam)’.”

Menurutnya lagi, ketika melihat Chkaifi ditikam McCaskie, dia hanya terfikir untuk menyelamatkan nyawa Chkaifi, jadi pilihan paling cepat dan selamat ialah  ‘menolak’ McCaskie daripada Chkaifi dengan keretanya.

“Jadi dalam jarak dekat, 10 atau 12 kaki, saya menolak lelaki itu (McCaskie) dengan kereta saya tetapi dalam masa yang sama mengelak daripada turut melanggar perempuan berkenaan (Chkaifi).

“Apabila menyedari lelaki itu berada di bawah kereta, saya lantas membuka pintu kereta dan saya lihat tangannya terjulur keluar dari bawah. Pemandangan itu kekal dalam ingatan saya. Kereta saya melanggar dinding dan terhenti; dan saya cuba mengundur tetapi enjin tidak dapat dihidupkan. Saya terus cuba menghidupkan kereta untuk membebaskan lelaki itu, tetapi gagal. Saya menjerit meminta tolong.

“Saya memegang kepala saya dan berfikir: ‘Bagaimana ini berlaku?’ Saya telah cuba menyelamatkan nyawa seorang wanita tetapi sebaliknya saya telah membunuh seorang lelaki. Saya berdoa: ‘Ya Allah ampunilah saya atas apa yang telah saya lakukan ini’,” jelas Abraham.

Polis Metropolitan London dalam kenyataannya berkata penyiasat yang telah menyemak undang-undang berkaitan pertahanan diri dan pembelaan terhadap keselamatan individu lain,  kini mengklasifikasikan Abraham sebagai ‘seorang saksi penting’ kejadian dan bukannya suspek sepertimana dakwaan awal yang dikenakan terhadapnya. 

Beribu-ribu orang telah menandatangani petisyen menyokong Abraham selepas dia ditahan  sebelum ini kerana disyaki membunuh McCaskie, manakala ahli keluarga Chkaifi dilaporkan memujinya sebagai seorang ‘wira’. – Agensi

- Advertisement -