Petani terjejas banjir dibantu kerajaan negeri

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Petani dan penternak yang terjejas akibat banjir dan bencana alam perlu mengemukakan permohonan melalui wakil rakyat untuk dipertimbang bantuan kerajaan negeri.

Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Abdul Azziz Kadir berkata, kerajaan negeri memperuntukkan dana khas bagi tujuan itu.

Katanya, bantuan tersebut turut merangkumi sumbangan kepada petani kehilangan modal pusingan untuk membangunkan semula projek pertanian yang musnah kerana banjir.

- Advertisement -

“Petani terbabit kena kena buat permohonan melalui wakil rakyat masing-masing untuk diajukan kepada kerajaan negara melalui Exco Pertanian.

“Untuk peruntukan peralatan pertanian disediakan RM27,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) setahun melalui Pejabat Tanah dan Jajahan, manakala peruntukan RM30,000 dari Pejabat Exco Pertanian,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Azziz yang juga Adun Jelawat berkata, petani yang terjejas dengan bencana alam perlu mengemukakan masalah itu kepada pihak berkenaan.

Malah katanya kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi membantu golongan petani yang terjejas akibat bencana alam melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Petani dan penternak yang terjejas juga kena buat satu laporan polis berhubung kejadian yang dihadapi mereka bagi mengesahkan masalah serta kerugian yang dihadapi.

“Selain itu boleh berhubung dengan Pejabat Pertanian berdekatan untuk mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Baru-baru ini seorang petani di Kampung Lubok Gong di Kampung Lubok Gong Rantau Panjang menagih bantuan selepas tanaman lada dan timun batang yang diusahakannya musnah ketika tengkujuh tahun lalu.

Faridah Mohamad 52, berkata situasi itu menyebabkan beliau mengalami kerugian sehingga RM10,000 setelah projek tanaman secara fertigasi yang diusahakan sejak dua tahun lalu terjejas akibat banjir. – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -