Ukraine gesa jangan percaya ‘ramalan apokaliptik’ terhadap Rusia

Dmytro Kuleba dirakam ketika dalam satu temu bual dengan Reuters di Kyiv, Ukraine pada 21 April 2021. (FOTO Reuters)
- Advertisement -

Mariupol: Ukraine meremehkan kemungkinan pencerobohan oleh Rusia ke negara itu melalui kenyataannya pada Ahad (6 Feb), dengan menegaskan agar jangan mempercayai ‘ramalan apokaliptik selepas Amerika Syarikat mendakwa Moscow telah mengumpulkan 70 peratus pasukan tentera yang diperlukan untuk pencerobohan berskala penuh.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba dalam kenyataan melalui twitternya sebaliknya berkata Ukraine kini bersedia untuk sebarang perkembangan.

- Advertisement -

“Sekarang ini, Ukraine mempunyai sokongan ketenteraan yang kuat, dan sokongan antarabangsa yang tidak pernah berlaku sebelum ini, selain kepercayaan utuh rakyat Ukraine terhadap negara ini. Musuh harus takut kepada kita, bukan kita takut kepada mereka,” tegasnya.

Sementara Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, peluang untuk mencari penyelesaian diplomatik kepada krisis berkenaan kekal ‘jauh lebih tinggi daripada peningkatan ancaman selanjutnya’.

Kerajaan Ukraine di bawah Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah mengeluarkan kenyataan meremehkan ancaman Rusia terhadap negara itu dalam apa yang dianggap sebagai percubaan untuk menstabilkan pasaran dan mencegah panik dalam kalangan penduduknya, walaupun AS memberi amaran bahawa serangan mungkin akan berlaku dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berada dalam keadaan berjaga-jaga.

AS dan United Kingdom sebaliknya telah dituduh memperbesar-besarkan risiko serangan Rusia ke atas Ukraine, sesuatu yang dinafikan secara mutlak oleh kedua-dua buah negara berkenaan.

Terdahulu, pegawai AS yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata pada hari Sabtu (5 Feb) dalam laporan media AS bahawa mereka telah diberi taklimat bahawa operasi untuk menawan ibu kota Kyiv dengan cepat, menjatuhkan kerajaan Zelenskyy yang dipilih secara demokrasi, adalah antara kemungkinan paling agresif untuk campur tangan Rusia terhadap Ukraine.

Dalam senario sedemikian, AS mendakwa antara 25,000 hingga 50,000 orang awam bakal terkorban dengan dengan seramai 25,000 askar Ukraine terbunuh. – Al Jazeera

- Advertisement -