UMMAH sedia anjur sidang muafakat pemimpin politik, NGO Islam

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bersedia menjadi pihak penganjur bersama kepada program ke arah perbincangan yang dicadangkan oleh Tan Sri Annuar Musa bagi memperkukuhkan perpaduan dan muafakat ummah.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berharap semua pihak sama ada pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh agamawan, kaum serta masyarakat segera berlapang dada dan bersedia untuk bermuzakarah demi memartabatkan perpaduan ummah bagi mempertahankan Islam, Melayu dan tanah air demi masa depan negara ini.

- Advertisement -

Ini katanya, berikutan mutakhir ini kelihatan semangat perpaduan ummah bagi menjadi benteng mempertahankan Islam dan Melayu di negara ini kian rapuh akibat daripada nafsu untuk berebut kuasa di antara kelompok tertentu parti-parti politik.

Ujarnya lagi, kuasa politik Melayu Islam merupakan asas penting kepada kestabilan dan kemakmuran negara sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Islam Agama Persekutuan dan Melayu adalah kaum majoriti dalam negara ini.

“Jika kuasa Islam dan Melayu tewas di negara ini, maka ini akan dan boleh menjadi penyebab kepada menggugat kestabilan dan kemakmuran negara.

“Keputusan PRU14 yang lepas telah kita menyaksikan dan pasrah bahawa kuasa Melayu Islam terlepas daripada menguasai politik dan pentadbiran negara, akibatnya tindakan dan polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang liberal terhadap Islam dan Melayu telah menimbulkan suasana yang tegang di antara kaum-kaum dan agama di negara ini.

“Ini telah menimbulkan bibit bibit api persengketaan kaum dan agama yang mula menjadi api dalam sekam,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pada 8 Disember 2018, UMMAH telah mengambil inisiatif bersama lebih 500 NGO Islam yang telah disertai pemimpin parti-parti politik Melayu Islam Bersama-sama menganjurkan himpunan perpaduan ummah membantah ICERD bagi mempertahan Raja Melayu, Islam dan Melayu di Dataran Merdeka.

UMMAH dalam himpunan yang bertemakan putih melambangkan perpaduan ummah dan perdamaian menyeru semua pihak berdamai dan bermuafakat mempertahankan kedaulatan negara.

Mohd Zai berkata, bermula daripada titik bersejarah itulah telah membawa kepada usaha ke arah perpaduan parti-parti politik Melayu Islam yang terbesar iaitu Umno dan PAS dan lain-lain parti yang juga bersama dengan gagasan perpaduan ummah.

Perpaduan rakyat itu akhirnya menatijahkan kepada jatuhnya kerajaan PH dan terbentuk pula kerajaan Perpaduan Nasional (PN) sehingga ke hari ini.

“Adakah kita akan bersengketa dan berpecah semula setelah kita membina permuafakatan? Sudah tentu tidak kerana ini akan meruntuhkan semula umat.

“Sekiranya selepas ini berlaku lagi perpecahan kuasa politik ummat Islam dan Melayu di negara ini, maka ini akan membuka semula peluang dan ruang kepada pihak lain untuk menguasai semula kuasa poiltik dan pentadbiran di negara ini,” katanya.

Justeru itu, ujarnya sangat wajar perpaduan ummah diperkemaskan semula bagi mempertahankan hala tuju dan matlamat yang lebih besar bagi membina perpaduan yang akan menjamin masa depan negara. – HARAKAHDAILY 4/2/2022

- Advertisement -