MN masih wujud sampai sekarang – Annuar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa menjelaskan kumpulan yang berpecah sukar mencapai kemenangan sekiranya bergerak secara bersendirian.

Katanya, penyatuan ummah yang berlaku sebelum ini melalui proses dan perundingan yang sangat panjang sehingga Umno dan PAS bersetuju menamatkan perselisihan.

- Advertisement -

Kata beliau perkembangan yang berlaku itu menyebabkan sebahagian besar penyokong kedua-dua parti gembira dengan penyatuan tersebut.

“Kerjasama sehingga terbentuk Muafakat Nasional (MN) merupakan usaha yang dilakukan bermula dari bawah hingga ke peringkat tertinggi yang dimeterai piagamnya.

“Malah perkara itu dibawa ke Perhimpunan Agung Umno dan muktamar serta Majlis Syura Ulama PAS,” katanya di sini semalam.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno antara individu penting yang memainkan peranan sehingga terbentuk MN.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, perkara yang besar itu diputus di peringkat tertinggi kedua-dua parti.

“Jadi sehingga sekarang Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung Umno belum membuat keputusan baru terhadap persetujuan sebelum ini.

“Biarlah muktamar dan Perhimpunan Agung Umno yang menentukannya, selagi tidak buat apa-apa, pada saya MN masih wujud, masih kekal sampai sekarang,” ujarnya.

Beliau juga menyarankan pertemuan pemimpin politik Melayu, badan bukan kerajaan Melayu_Islam perlu digerakkan semula sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Menurutnya pertemuan tersebut begitu penting bagi menentukan hala tuju dan masa depan ummah.

“Sebab ini bukan untuk menentukan nasib satu dua pemimpin, sebaliknya nasib umat Islam dan rakyat. Sekali kita silap akan hancur seluruhnya dan ini benda yang serius difikirkan,” tambahnya.

Beliau juga meminta individu yang tidak terlibat dalam pembentukkan MN sebelum ini berhenti bercakap, sebaliknya biarlah pucuk pimpinan membuat kenyataan.

MN dibentuk pada 14 September 2019 selepas kedudukan ketuanan Melayu-Islam terjejas di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun segelintir pemimpin Umno terutamanya di Johor dan Kelantan menganggap MN sudah tidak wujud. Malah, Umno Kelantan memutuskan hubungan dengan PAS dengan membelakangi keputusan Perhimpunan Agung Umno. – HARAKAHDAILY 4/2/2022

- Advertisement -