Manfaat musim menuai anjur pertandingan memancing

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Kehadiran musim menuai padi kali ini dimanfaatkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Guar Sanji menganjurkan pertandingan memancing, kelmarin.

Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim berkata, sambutan penduduk tempatan begitu menggalakkan sehingga lebih 170 peserta menyertai pertandingan tersebut.

“Alhamdulillah, pertandingan yang diadakan kali ini mendapat sambutan hangat penduduk tempatan.

- Advertisement -

“Malah ada peserta yang tidak pernah memancing pun turut menyertai untuk merasai keseronokan memancing,” katanya pada program tersebut.

Program tersebut diadakan kawasan bendang dan tali air di Dun berkenaan. Antara ikan yang menjadi kegemaran ramai iaitu puyu, keli, haruan dan sepat.

Sementara itu seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Rogayah terharu apabila diumumkan sebagai pemenang kategori ikan terberat pada program tersebut.

“Saya sudah lama tidak mengail, Alhamdulillah pertama kali masuk pertandingan dapat johan pula,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Adun Guar Sanji. Turut hadir Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dun (JPrD) Mohd Fuad Hashim dan Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Tijah Omar.

Mohd Ridzuan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk peserta yang menyertai pertandingan berkenaan.

Beliau juga memuji kecekapan petugas Jabatan Amal Malaysia mengawal lalulintas dan keselamatan sepanjang pertandingan berlangsung. – HARAKAHDAILY 31/1/2022

- Advertisement -