Muslim Care santuni 615 keluarga asnaf Tawau, Semporna

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

MISI bantuan kemanusiaan Muslim Care Malaysia (MCM) di musim banjir pasca 16 Disember telah mencecah lebih 100 program ke seluruh negara, menelusi setiap lorong derita rakyat termasuk bantuan makanan, peralatan rumah bagi mangsa banjir, membersihkan rumah mangsa banjir serta bantuan one off kepada rakyat Malaysia yang dihempap kesusahan akibat banjir terbesar dalam tempoh separuh abad. Gerakan swadaya yang ditubuhkan pasca tsunami Aceh ini terus memacu laju bervariasi program menyantuni asnaf dan kelompok insan yang diuji dengan kepayahan di dalam dan juga luar negara.

Minggu ini tim MCM dengan kolaborasi relawan NGO Pejabat Penyelaras Parlimen Besut bergerak ke Sabah ‘Negeri Di Bawah Bayu’ yang mempunyai kerencaman etnik serta agama. Manakala minggu ini juga misi bantuan musim sejuk ke Syria juga berlangsung dengan membawa setengah juta ringgit bantuan kemanusiaan yang telah berumur sedekad MCM menggalang misi bantuan Syria ini. Bagi misi Muslim Care Malaysia ke Sabah minggu ini pula, BAKIP, SME Bank antara penyumbang dengan kerjasama Muslim Care Malaysia yang berjaya santuni 615 keluarga asnaf. Sabah juga terkenal dengan masyarakat tanpa warganegara yang mendiami pesisir laut dan pihak keselamatan yang mengawal ketat perairan kerana wilayah ini sangat terdedah dengan penyusupan musuh negara. Antaranya pernah berlaku tragedi Tanduo pada tahun 2013.

Sabah bukanlah negeri yang asing untuk pelbagai misi bantuan kemanusiaan, dakwah serta kebajikan Muslim Care sejak belasan tahun yang lalu. Samada lokasi keterpurukan di banjaran gunung atau pulau-pulau, kaum terpinggir ini diayomi oleh NGO bernuansa kebajikan ini. Misi kali ini telah diisi dengan acara forum “peta luka ummat Islam” di masjid Ansar Taman Sawit Balung, busking dakwah LESTARI di Downtown Tawau, kuliah di masjid IPG Tawau, talkshow kesihatan di Masjid Maqbul, busking dakwah LESTARI bersama Zuar XPDC, forum perdana “Persiapan Ramadhan” bersama Ustaz Mat Daik Mohamad, Dr Riduan dan Zuar Xpdc, Kuliah subuh perdana bersama Ustaz Dato’ Basri Mohamad serta ceramah motivasi pelajar.

- Advertisement -

Secara keseluruhannya, seramai 615 keluarga daripada golongan asnaf dalam kalangan komuniti Bajau, Bajau Laut dan Suluk di Tawau dan Semporna menerima bantuan bekalan makanan harian, telekung solat daripada MCM dan rakan-rakan NGO kolaborasi Pejabat Penyelaras Parlimen Besut.  Jumlah yang terkesan akibat pandemik di daerah Semporna sahaja sekitar tiga belas ribu keluarga menurut Ketua Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Semporna.

Industri pelancongan terjejas teruk di musim PKP yang lepas pelbagai cerita sedih diluahkan kepada anggota misi, pergerakan yang terkawal serta ketakutan kepada wabak yang mendunia itu yang telah meragut 32,000 nyawa rakyat Malaysia. Penduduk Pulau Mabul menyambut kami dengan jalinan mahabbah yang dipintal kukuh pada tali ukhuwwah. Seramai 37 relawan meluangkan masa dengan penduduk dalam pelbagai program yang telah diatur. Relawan misi tanpa sempadan ini datang daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, ada yang datang daripada Besut, Batu Pahat, Hulu Langat, Kuala Lumpur, Selayang serta Kelantan.

Cuaca panas terik penghujung bulan Jamadil Akhir yang menikam ubun-ubun kepala sangat menginsafkan kami. Merenung anak-anak asnaf dengan persekitaran yang kumuh dengan lingkungan sosial sebegitu sangat tidak menceriakan hati kami. Lokasi pertama bantuan di Kampung Sungai Buaya Tawau, tim bantuan menyantuni 100 keluarga asnaf. Mereka mengerumuni kami dengan seribu satu cerita pahit kehidupan. Bagi keluarga yang terlepas bantuan food basket, bantuan tunai diberikan agar mekar senyuman pada wajah kelompok asnaf ini.

“Jika kita nak bantu semua keluarga asnaf, seribu keluarga pun tak cukup Dr,” tukas Ustaz Wan Azmi, pensyarah kanan IPG Tawau yang juga anak Besut yang telah bermukim 24 tahun di Sabah.

“Kita hanya bantu 100 keluarga asnaf melalui senarai yang disediakan oleh ketua kampung…tak mudah juga untuk memuaskan hati semua orang,” Ustaz Wan menjelaskan kondisi sengitnya tirai berlapis dalam masyarakat.

Misi kami juga menghulurkan bantuan asnaf di Inderasabah, Kampung Selamat Semporna dan turut melawat madrasah yang diusahakan oleh Muslim Care sebelum ini di Pulau Mabul. Hati bagai direnyuk apabila rombongan menyantuni asnaf laut yang sangat daif, anak-anak yang meminta makanan dengan wajah dimanifestasikan daripada keterpurukan hidup. Ada yang tak mampu mengucap kalimah syahadah dan tak mengerti apa-apa pun tentang Islam.

Tanggungjawab mencerahkan mereka tentang Islam sangat besar di pundak kita semua orang beriman, bukan hanya memberikan makanan yang akan melepaskan rasa lapar namun juga aspek tarbiah. Menjiwai dan berempati dengan korpus kehidupan anak-anak suku Bajau Laut yang nyata kekurangan bimbingan Islam maka, Muslim Care Malaysia Society (MCM) memutuskan untuk mewujudkan madrasah terapung, khusus untuk kelompok Bajau Laut. Insya-Allah sebulan dua lagi hasrat ini akan disempurnakan di mana peringkat akhir pembinaan madrasah terapung sedang berjalan.

Pelbagai rancangan akan dilaksanakan secara bersinergi dengan rakan-rakan NGO lain yang prihatin dalam isu ini termasuk pendakwah tempatan. Objektifnya  untuk memastikan penduduk Mabul terutama kanak-kanak disini terus mendapat manfaat dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam kehidupan mereka.

Menurut Panglima Mubin Paraja, ketua enik di Mabul, kanak-kanak Bajau Laut atau digelar sebagai palaoh yang tinggal dalam rumah-rumah sampan agak berbeza dengan kanak-kanak lain, cara hidup nomad di laut, sulit untuk berubah dan tak boleh menyesuaikan diri dengan suasana sekolah di daratan.

“Mereka akan mabuk darat…selepas 10 minit di darat, mereka akan kembali ke laut,” tukas seorang pendidik di Pulau Mabul yang kami temui.

Pemusafiran dakwah dan berkebajikan selama empat hari ini sangat meruntun sukma. Sarat dengan pengalaman baru seperti melihat kemiskinan tegar insan tanpa dokumen kehidupan (stateless), dipanah terik mentari, melihat kehidupan pelaoh yang bersahabat dengan laut dan air mata kejerihan mereka yang masih tebal dengan kepercayaan lama mereka. Syahadah kita adalah manifestasi rasa bersaudara dan saling membantu ummah yang dijeruk kepayahan. – HARAKAHDAILY 31/1/2022

Penulis ialah anggota bantuan tanpa sempadan.

- Advertisement -