Penyatuan ummah agenda besar di Selangor

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR:
Di Selangor usaha untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dibiarkan berlaku pertembungan tiga penjuru.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pertandingan dua penjuru perlu diusahakan bagi mengembalikan semula negeri itu kepada ketuanan Melayu-Islam.

Katanya, kuasa politik Melayu-Islam sangat besar dan perlu digemblengkan bagi menghadapi musuh yang sama.

- Advertisement -

“Melalui kuasa politik itu kita boleh bersama memperjuangkan Islam. Malah inilah yang dikehendaki akar umbi yang mahu penyatuan Muafakat Nasional diteruskan.

“Malah kerjasama politik antara PAS dan Umno di Selangor sekarang sangat baik. PAS Selangor berpegang kepada dasar perpaduan ummah yang digagas pada muktamar sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan Selangor berpegang teguh meneruskan kerjasama dengan PAS melalui MN seperti dicapai pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

“Saya berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung Umno yang lepas kerana salah satu daripada resolusinya iaitu meningkatkan kerjasama MN,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan dipercayai ada kaitan Umno Kelantan mengumumkan memutuskan hubungan serta merta dengan PAS di negeri terbabit.

Dr Ahmad Yunus juga berkata, penyatuan ummah merupakan agenda besar melebihi agenda lain.

“Muafakat dan keterbukaan terus kita usahakan dalam mencapai matlamat yang sama,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -